Showing posts with label Tazkirah Ringkas. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah Ringkas. Show all posts

Tuesday, May 24, 2011

Berharta Mewah Tak Semestinya Kaya!

Salam,

InsyaAllah saya ingin berkongsi satu lagi wisdom (kebijaksanaan) perancangan kewangan yang perlu dihadam oleh semua orang yang ingin bebas kewangan dan ingin jadi kaya. Ramai pakar perancangan kewangan pernah menyampaikannya dan saya pasti mungkin ada di antara anda yang pernah mendengarnya.

Gaya Hidup Orang 'Kaya'

Sahabat-sahabat sekalian,

Kita sering melihat di sekeliling kita harta-harta mewah yang diperagakan oleh mereka yang dianggap 'kaya' ini. Kita melihat mereka memakai kereta-kereta mewah seperti Mercedes, BMW, Audi, Porsche atau mungkin yang lebih ganas lagi seperti Ferrari, Lamborghini dan Bentley. Golongan ini juga kelihatan tinggal di rumah-rumah yang besar seperti paling kurang rumah semi-D, banglo, ataupun apartment-apartment yang gah di kawasan kediaman elit seperti berhampiran KLCC, Damansara, Bangsar dan lain-lain lagi.

Ferrari
Kalau kita masuk pula ke dalam rumah mereka, kita akan dapati perabot-perabot yang mahal-mahal dan peralatan elektrik yang canggih dan terkini. Contohnya set TV mestilah yang terkini, bersaiz sebesar meja, nipis macam handphone dan mesti pakai cermin mata. Kalau tidak, tak dapat feel macam mana rasanya dalam 3D.

Mereka ini juga, sering kita lihat berpakaian yang mewah-mewah dengan jenama yang terkenal dan fesyen yang terkini. Ada yang kita tidak pernah dengar pun namanya. Nak bertanya segan takut orang kata ketinggalan zaman. Tak mainlah jenama cikai-cikai ataupun baju-baju biasa saja. Yang penting ori! Di badan mereka juga tidak ketinggalan gajet-gajet terkini seperti Ipad 2 dan Iphone 4. Dengan bluetooth di telinga. Bercakap pun dah macam orang gila sebab bercakap sorang-sorang. Ingatkan kita yang ditegurnya beri salam, sekali orang lain daaa.. hehe


Ipad 2

Tidak Mahu Ketinggalan

Lalu kita yang kerja makan gaji tak seberapa ni pun tidak mahu ketinggalan untuk jadi seperti mereka. Walaupun tidak mampu untuk membeli kereta yang semahal Mercedes atau BMW, jadilah dengan membeli Proton Inspira 2.0 CVT baru. Untuk kelihatan lebih sporty supaya setanding dengan kereta Polis Peronda Lebuhraya, maka kita pun convert body kit kepada Mitsubishi Lancer EVO 10. Rim sukan @ Sport Rim ditukar supaya kelihatan lebih garang. Begitu juga dengan ekzos supaya lebih masyuk bunyinya. Jadilah walaupun prestasi masih sama. Janji orang tak perasan yang kereta kita tu sebenarnya Proton Inspira. Hehe.

PDRM Peronda Lebuhraya Mitsubishi EVO X

 Begitu juga dengan rumah. Kita juga tidak mahu kalah kepada orang lain. Paling kurang kena rumah bertanah teres 2 tingkat. Kalau boleh nak lot tepi atau lot korner. Lepas tu perabot kat dalam rumah nak kena yang nampak kelas. Decoration pun sama. Minimalist design bak kata Eric. Huhu.. Set TV pula walaupun tak pakai spek kalau boleh nak nipis. Siap dengan Astro Beyond HD supaya boleh nampak jerawat artis-artis tu.

TV HD 3D Nipis
Begitu juga dengan pakaian. Nak beli yang ori tidak mampu rasanya sebab satu set seluar, baju dan kasut sahaja sudah melebihi separuh gaji. Dapat yang tak ori pun jadilah janji jenama sama. Ada jugak yang carik di kedai-kedai bundle so nanti bila orang tanya bolehlah jawab ori. Ataupun bagi mereka yang tinggal di Lembah Kelang, pasti tidak melepaskan mata untuk melihat iklan-iklan bunting di kawasan-kawasan seperti PJ dan Shah Alam untuk melihat kalau-kalau ada Warehouse Sale jenama-jenama pakaian dan kasut terkenal. Mana boleh lepaskan peluang ni.. Ori tu beb..

Bvlgari Petaling Street Gred AAA

Tidak ketinggalan dengan gajet-gajet hangat di pasaran. Kita yang tak mampu nak pakai Ipad 2 cukuplah kalau ada Samsung Galaxy Tab, tak pun paling kurang CSL Tab jer.. Hehe. Kalau fully utilize takpe jugak, tapi biasanya setakat untuk main game jer. Hehe. Yang penting kita tidak terkalahkan dengan orang-orang 'kaya' yang di atas tadi tu. Kalau orang kutuk Samsung Galaxy Tab kita sebab pakai Android, kita pun backing habis-habisan dengan pelbagai hujah yang bernas lagi kukuh. Bermacam-macam alasan diberikan kenapa kita tak pakai Ipad.

Hakikat Yang Pahit

Sahabat-sahabat yang dikasihi

Tentu anda pernah dengar semua ni dan boleh mengakuinya. Walaupun mungkin anda tidak begitu, tapi tentu anda pernah lihat kawan-kawan anda ataupun saudara-saudara anda yang seperti itu. Betul tak?

Sesungguhnya, walaupun semua perhiasan duniawi ini kelihatan manis pada mata kasar kita, namun hakikat yang tersembunyi di belakangnya seringkali kita endahkan kerana ianya agak pahit untuk ditelan. Itulah hakikat yang semua orang tahu tapi tak mahu dijadikan bahan bualan ataupun perbincangan kerana ia bakal merosakkan semua mood mewah yang dikecapi. Bak kata orang muda potong stim la lu ni..

Itulah hakikat yang tersembunyi di sebalik semua kemanisan duniawi ini iaitu HUTANG. Nampak manis di luar, tapi bila dapat gaji hujung bulan sering kali kita menelan air liur pahit apabila sejurus sahaja gaji masuk terus tinggal tak sampai 20% bagi yang bernasib baik. Ada kes-kes yang lebih malang, sejurus sahaja gaji masuk, yang tinggal tidak sampai RM100 untuk belanja makan, minyak, tol, dan belanja anak bini selama sebulan.

Sedarkah anda persamaan antara kita (middle and low class) dengan orang 'kaya' yang disebutkan di atas adalah sama iaitu HUTANG di sebalik semua harta mewah tersebut. Mungkin tidak semua orang 'kaya' itu berhutang kerana mungkin ada yang memang jutawan dan beli kereta Ferrari secara tunai. Tapi boleh dikatakan kebanyakannya berhutang. Jadi apa gunanya harta mewah yang banyak tetapi hutang keliling pinggang? Apa gunanya harta mewah yang manis tapi setiap bulan hanya cukup-cukup makan?

Berharta Tidak Semestinya Kaya

Sahabat-sahabat yang dikasihi

Tiada guna berharta mewah sekiranya perbelanjaan kita melebihi pendapatan kita setiap bulan. Cashflow kita sentiasa berada di posisi negatif. Contoh mudah gaji kita RM 4,000 sebulan tapi perbelanjaan kita RM 5,000 sebulan. Sama juga dengan orang 'kaya' yang pakai Mercedes dan BMW, gaji mereka mungkin RM 60,000 sebulan tapi perbelanjaan RM 70,000 sebulan.

Sesungguhnya kaya itu bukan pada harta yang mewah. Kaya itu ialah apabila pendapatan kita jauh lebih banyak mengatasi perbelanjaan kita. Jadi mari sama-sama semak semula diri kita. Sekiranya anda mempunyai gaji RM 4,000 sebulan tetapi hanya berbelanja RM 2,000 sebulan, maka anda boleh dikategorikan orang yang belum lagi kaya tetapi insyaAllah berpotensi untuk kaya. Begitu juga sekiranya anda bergaji RM 60,000 sebulan tetapi hanya berbelanja RM 30,000 sebulan maka anda juga berpotensi untuk menjadi kaya.

Sebab apa saya katakan bergaji RM 60,000 dengan baki RM 30,000 belum lagi kaya? Sebab kaya itu lebih besar maksudnya. Mungkin kita boleh bincangkan di dalam topik lain berkenaan dengan kaya yang sebenar. Sebagai preview mungkin anda boleh baca ini.

Pilihan Di Tangan Kita

Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah, kita punya pilihan untuk hidup sama ada dengan berhutang atau bebas hutang. Cashflow negatif setiap bulan atau positif. Biar papa asal bergaya, atau biar selesa asalkan kaya. Hidup dalam keperluan atau hidup dalam kemahuan.

Bukankah lebih bahagia sekiranya kita berbelanja dengan mengukur baju di badan sendiri. Dengan rumah yang sederhana sesuai dengan kemampuan tetapi selesa. Dengan kereta yang cukup sekadar kegunaan untuk pergi balik kerja, selamat, selesa untuk keluarga dan boleh membawa kita sampai ke destinasi yang hendak dituju. Dengan pakaian yang selesa dan tidak menjolok mata dan gajet-gajet yang memang kita fully utilize berbanding gajet-gajet yang kita under utilized.

Bersederhana tanpa hutang itu adalah lebih baik daripada berlebih-lebihan dalam keadaan berhutang. 

Sesungguhnya orang yang merasakan dirinya berharga tidak memerlukan barangan mahal di sekeliling mereka. Orang yang memerlukan barangan mahal di sekeliling mereka adalah mereka yang merasakan diri mereka belum sempurna dan belum cukup berharga lagi. 


Iktibar Daripada Jutawan 


Siapa yang tak kenal dengan pakcik saya ini, iaitu Warren Buffet. Hehe. Beliau adalah antara orang yang terkaya di dunia. Siapalah kita kalau nak dibandingkan dengan beliau. Walaupun kita memiliki rumah banglo paling mewah di KL, atau kereta Ferrari bersusun-susun di rumah, kita tetap tidak akan dapat menandingi kekayaan beliau yang bernilai berpuluh-puluh billion USD. Mari kita lihat macam mana bentuk rumah beliau dan kereta beliau.

Rumah yang dibeli dengan harga $31,500 pada tahun 1958 dan kereta yang agak biasa
 Begitu juga dengan tokoh muda yang tersohor yang juga billionaire. Beliau ialah Mark Zuckerberg yang merupakan pengasas Facebook.


Dengan nilai bersih beliau iaitu USD 13 billion beliau juga menjalani kehidupan yang serba sederhana. Berikut ialah rumah dan kereta beliau.

Rumah yang sederhana dengan kereta buatan Jepun
Akhir kata daripada saya ukurlah baju di badan sendiri. Hiduplah seperti mana mereka yang terkaya di dunia. :)

Wassalam.

Credit Gambar: amazon.com, forbes.com, paultan.org

Thursday, September 23, 2010

Kes Pembunuhan Dato' Sosilawati dan Undang-undang Jenayah Syariah

Assalamualaikum wbt. 

Saya dapat artikel ni daripada seorang kawan. Satu penjelasan dan komentar secara ilmiah yang sangat baik berkenaan kes sensasi ini daripada PAS. Semoga kerajaan dan rakyat dapat membuka mata dan hati kepada satu kaedah penyelesaian kes-kes jenayah yang telah diberikan oleh Allah sejak dahulu lagi.

PEMBUNUHAN DATO’ SOSILAWATI: MENCARI KEADILAN MENURUT UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARI’AH

MUKADIMAH.

Kes jenayah semakin menjadi-jadi di negara kita. Peristiwa pembunuhan Dato’ Sosilawati bersama beberapa orang yang lain antara peristiwa jenayah yang paling menggemparkan yang bukanlah jenayah pembunuhan episod pertama di dalam negara kita dan juga pastinya bukanlah yang terakhir. Peristiwa yang cukup mengejutkan apabila penjenayah terbabit dikaitkan dengan beberapa siri jenayah pembunuhan yang belum dapat diselesaikan sebelum ini. Ini menunjukkan betapa banyaknya kes jenayah pembunuhan yang tidak mampu dibongkar di negara ini. Persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah, sampai bilakah jenayah melibatkan pembunuhan akan berakhir dan adakah ianya akan menjadi kebiasaan sebagaimana kes-kes kecurian, pecah rumah dan rompakan bersenjata?


Monday, March 26, 2007

Allah Knows..

Assalamualaikum wbt..

*Post hari ini saya tujukan kepada seorang sahabat karib, semoga dikuatkan semangat dan tabah menghadapi masalah yang melanda.

Hari ni kita nak cerita pasal masalah. Anda ada masalah tak? Kalau anda tak ada masalah, sudah tentu anda bukan orang. :D Kerana secara logik akalnya semua orang menghadapi berbagai-bagai masalah. Kecualilah budak-budak kecik dan orang-orang gila. Mereka memang takde masalah. Kalau budak-budak, yang mereka tahu hanya main sahaja. Alangkah bahagianya kalau dapat kembali seperti budak-budak dahulu. Kalau ada masalah pun takat camne nak beli komikla, nak beli mainan la dan sebagainya yang tidaklah besar mana pun masalah tersebut. :)

Tapi bila dah menjelang usia dewasa nih, berbagai masalah timbul. Masalah study, masalah keluarga, masalah kewangan, masalah kerja dan lain-lain lagi. Mungkin pernah satu masa kita mengharapkan agar semua masalah-masalah ini hilang begitu sahaja. Kita sudah tak mahu berdepan dengan masalah-masalah tersebut. Tapi sedarkah kita bahawa masalah-masalah ini adalah sebahagian dari proses hidup kita. Dengan masalah-masalah inilah kita akan dapat belajar macam-macam pengalaman yang berguna dalam hidup di masa hadapan. :)

Tambah lagi bila seseorang itu bercita-cita untuk menjadi usahawan yang berjaya. Dalam bisnes memang banyak dugaan dan cubaan. Dan kadang-kadang dugaan itu terlampau besar sehingga tak semua orang dapat menahannya dan akhirnya akan kembali makan gaji. Banyak cerita yang kita dengar pasal usahawan yang kehilangan beribu-ribu malah berjuta-juta ringgit, tetapi bangkit kembali dan terus berusaha sehinggalah mencapai kejayaan yang diingini. Tanyalah sesiapa sahaja yang menjadi usahawan, pasti pernah menghadapi satu kegagalan yang besar dalam bisnes mereka. Memanglah kita tengok mereka kaya, hidup senang tapi kita tidak pernah tanya mereka berapakah pengorbanan yang telah mereka lakukan yang membuatkan mereka berjaya. Kalau kita dengar belum tentu kita akan berjaya mengharunginya sepertimana mereka.

Benarlah kata-kata peribahasa "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian" :)

Semua manusia dilanda masalah dan ujian. Persoalannya ialah sekuat mana kita berjaya untuk menanggung masalah kita? Pernahkah kita merasa sempit yang teramat sangat dunia ini kerana masalah yang menimpa kita? Saya pernah merasakannya. Dan saya yakin semua orang pernah merasakan perkara yang sama. Satu perkara yang selalu saya buat untuk menyedapkan hati ialah dengan mengingatkan diri sendiri bahawa, masih ramai lagi orang yang lebih teruk daripada kita. Dengan ini insyaAllah akan datang rasa syukur kepada Allah. :) Inilah yang dinamakan bersyukur walaupun dalam keadaan susah dan bermasalah. Tapi tak semua dapat melakukannya.

Saya suka dengar lagu ni.. Lagu nasyid dari Zain Bikha dan Dawud Wharnsby Ali bertajuk Allah Knows. Dengar berulang-ulang kali, ia mampu memberikan saya sedikit kekuatan untuk menghadapi segala ujian yang melanda. :) Sesungguhnya Allah tidak akan membebani hambaNya dengan bebanan yang tidak mampu ditanggung. Semoga kita semua semakin tabah dan kuat untuk menghadapi ujian di dunia yang sangat sementara ini. :)

"Losers QUIT when they FAIL, WINNERS FAIL until they SUCCEED"

Wassalam



Allah Knows
Album : Allah Khows
Munsyid : Zain Bhika and Dawud Wharnsby Ali
http://liriknasyid.com


When you feel all alone in this world
And there’s nobody to count your tears
Just remember no matter where you are
Allah knows, Allah knows.

When you’re carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road you take
Allah knows, Allah knows.

Chorus:
(Cause) No matter what, inside or out
There’s one thing of which there’s no doubt
Allah knows, Allah knows.

And whatever lies in the heavens and the Earth
Every star in this whole universe
Allah knows, Allah knows.

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon shout it to everyone
Allah knows, Allah knows.

When you gaze with love in your eyes
Catch your glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows, Allah knows.

Chorus
When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows, Allah knows.

See we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs never fret never frown
Allah knows, Allah knows.

Chorus 2x
Every grain of sands in every desert plants
He knows…
Every sheet of palm, every closed hand
He knows…
Every sparkling tear on every eye lash
He knows…
Every thought I had and every word I share
He knows…
Allah knows…


Saturday, March 17, 2007

Pemusnah Ekonomi Umat Islam!

Assalamualaikum wbt.

Posting saya pada hari ini ialah untuk menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap seseorang. Anda boleh lawat blog dia di alamat ini. http://www.armansur.com

Mungkin payah nak carik posting-posting dia yang lama-lama tapi di sini saya dah shortlistkan. Sebenarnya berlambak lagi dia kutuk, tapi saya dah ringkaskan kot-kot anda semua meluat nak baca. Boleh bukak link di bawah yang aku pastekan posting2 dia di dalam forum BicaraJutawan.

http://www.bicarajutawan.com/forum/index.php/topic,2374.new.html#new

Pertama sekali, komen saya terhadap dia ni ialah saya tak kenal pun dia ni siapa. Sekali tiba-tiba dia boleh mengutuk-ngutuk orang-orang yang telah banyak berjasa kepada masyarakat kita. Antara mereka yang menjadi mangsa ialah Azizi Ali, Dr. Fadzilah Kamsah, Irfan Khairi, Chef Li dan lain-lain lagi. Besar sangatkah dia tu sampai boleh mengutuk orang-orang lain yang boleh kita katakan berjaya tu dengan sesuka hati? Antara tulisan dia dalam blog tu ialah dia ceritakan cara menulis yang betul iaitu "jangan menganggap kita lagi pandai dari pembaca". Dia berkata begitu tapi hakikatnya dia sendiri tidak mengamalkan apa yang dia kata dengan menganggap dia lebih hebat dari orang-orang yang disebutkan di atas.

Dia ni katanya seorang penulis dan antara buku-buku hasil karyanya ialah berkaitan dengan jutawan, carik duit dan sebagainya. Malah dia ada menganjurkan kursus yang dinamakan Akademi Jutawan yang perlu dibayar yuran RM 1000 untuk disertai. Masalahnya adakah dia jugak seorang jutawan? Adakah dia jugak berkelayakan untuk bercakap seperti orang-orang tadi tu? Kalau sama saja boleh dikatakan 2x5 lah. Tapi masalahnya dia ni lagi teruk sebab memperlekeh-lekehkan orang-orang yang tadi tu dan antara akibat daripada perbuatannya itu boleh menyebabkan usaha meningkatkan ekonomi umat Islam menjadi musnah.

Oklah saya tak mahu emosi kerana emosi tanpa hujah sama dengan cakap-cakap kosong sahaja dan akan dihasut oleh syaitan.

Pertama sekali, antara point-point dia dalam tulisan-tulisan dia ialah berkenaan Dr. palsu. Mungkin saya nak tanya dia siapakah yang dia katakan Dr. palsu ni? Dr. Irfan Khairi ke? Dr. Fadzley ke? Dr. Chef Li ke? Kalau boleh terus terang kan lagi bagus. Boleh kita jernihkan kembali kekeruhan ini secepat mungkin. Oklah terus terang saya katakan saya tak tahu mengenai Dr. Chef Li sebab saya tidak berada di Malaysia semasa kemunculan beliau. Yang saya tahu buku-buku hasil karya beliau begitu besar pengaruhnya dalam memberi semangat kepada orang ramai untuk mula menjadi usahawan. Ini adalah satu perubahan yang bagus kerana kita boleh meningkatkan ekonomi umat Islam. Adakah perubahan ini yang hendak saudara halang dengan tulisan2 saudara? Fikirkanlah sendiri. Tapi selain dari itu saya tak berani nak ulas sebab saya sendiri masih belum baca lagi buku Chef Li. Mungkin ada sahabat-sahabat boleh tambah.

Mengenai Dr. Irfan Khairi, penulis tahu Irfan Khairi dapat Dr. kerana anugerah yang diberikan kerana pencapaian beliau. Tahukah anda kenapa dia mendapat anugerah tersebut? Ini kerana pencapaian beliau memang outstanding dan diakui oleh pihak yang memberi anugerah. Kalau nak dibandingkan di Amerika telah ramai yang berjaya menjadi jutawan hasil daripada perniagaan di internet. Tapi disebabkan Irfan Khairi adalah pelopor di Malaysia maka dia telah diberikan anugerah tersebut. Dan hasil keuntungan yang menyebabkan beliau mendapat jutaan ringgit itu diperolehinya semasa beliau di UK. Dia sendiri tidak mahu orang lain memanggil beliau Dr. tapi orang lain yang beriya-iya panggil.

Penulis tersebut merasa tidak puas hati kerana tidak dapat diberikan satu contoh jutawan internet yang terhasil dari Malaysia selain Dr Irfan. Memanglah masih belum ramai yang dapat menjadi jutawan di Malaysia kerana bisnes di internet masih baru lagi bagi rakyat Malaysia. Internet pun masih slow lagi kalau nak dibandingkan dengan negara maju. Tapi dengan adanya orang seperti Dr. Irfan ia akan memberikan satu alternatif kepada orang kita untuk berdaya saing dalam bidang bisnes internet. Kita sepatutnya merasa bertuah kerana adanya seorang pakar dalam bidang ini dari kalangan anak tempatan orang Melayu pulak tu.

Nasihat saya kepada penulis tersebut, kalau anda nak jadi kaya, bukakan sedikit minda tu dan jangan sempitkan fikiran. Sekarang ini dunia IT, maklumat di hujung jari kita dan kita boleh buat duit di mana sahaja. Hanya orang yang merasa dirinya sudah pandai sahaja akan menutup segala peluang tersebut semata-mata kerana merasakan dirinya sahaja yang betul. Cuba kalau kita sentiasa ikut resmi padi, walau dah banyak ilmu pun sentiasa merendah diri dan merasa kekurangan, insyaAllah makin banyak yang akan dapat kita pelajari.

Dia juga mengatakan Irfan Khari menipu dengan seminar dan buku-bukunya dengan mewar-warkan boleh jadi jutawan dengan bisnes di internet. Saya ingin menyoal saudara, pernahkah iklan-iklan seminar beliau berbunyi begini "Jadi Jutawan dengan Bisnes Internet", "Jutawan Segera dengan Bisnes Internet"? Tidak pernah bukan? Tidak pernah sekalipun Irfan Khairi menjamin bahawa kita akan menjadi jutawan di internet. Kursus beliau menceritakan bagaimana untuk memulakan bisnes di internet, dan teknik-teknik yang diajarkan itu adalah teknik-teknik yang telah terbukti berkesan kerana diamalkan oleh jutawan-jutawan internet yang sebenar di seluruh dunia dan dia termasuk salah seorang daripada mereka. Dalam bisnes sudah tentu kita inginkan cara yang terbaik untuk berjaya, dan cara tersebut sudah tentulah cara2 mereka yang sudah berjaya iaitu jutawan-jutawan.

Apa yang boleh saya katakan ialah, saudara hanya serkap jarang. Menuduh tanpa mengkaji dan menilai dari luaran sahaja. Lihatlah apa isinya sesuatu perkara itu bukannya lihat pada permukaannya sahaja, barulah saudara boleh berkata-kata. Dengan jasa Irfan Khairi sudah berapa ramai yang berjaya menghasilkan duit di internet. Anda boleh lawat WangCyber.com kalau tak percaya, kerana di situ berkumpulnya usahawan-usahawan internet dari Malaysia. Ada yang mendapat sampai RM 20,000 sebulan dan semakin ramai yang sudah semakin berjaya. Mereka cukup bersemangat dan salah satu daripada pendorong mereka ialah kerana adanya orang seperti Dr. Irfan Khairi. Dengan tulisan-tulisan saudara tersebut saudara sebenarnya telah mematikan hasrat ramai orang-orang kita yang hendak memperbaiki taraf ekonomi mereka dengan membuat bisnes sambil-sambilan di rumah. Atau dalam erti kata lain saudara memusnahkan ekonomi umat Islam secara tidak langsung.

Sepatutnya saudara mengkaji terlebih dahulu dan baru berkata-kata. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Matlamat kita ialah untuk memperbaiki ekonomi umat Islam bukan menjatuhkannya lagi. Lebih baiklah saudara habiskan masa saudara untuk menulis akan keburukan-keburukan Skim Cepat Kaya, scam2, pelaburan-pelaburan yang menipu dll daripada memusnahkan bisnes orang yang buat kerja yang betul dan berniat yang baik. Ataupun kalau saudara rasa saudara betul sangat, saudara ceritalah tips-tips meningkatkan bisnes, menambah keuntungan, cara bisnes yang betul dan lain-lain. Tidak perlu menghabiskan ruangan blog saudara untuk terus menerus memberi kritikan-kritikan yang meruntuhkan lagi ekonomi, bukan membina.

Berkenaan Dr. Fadzley, sekali lagi dia menunjukkan penulis tersebut tidak mengkaji dengan lebih mendalam. Ada ke patut dia kata Dr. Fadzley sekadar diploma sahaja. :)

Boleh chek link di bawah ini untuk melihat CV Dr. Fadzley yang mana sekarang masih lagi memegang jawatan sebagai CEO PWTC dalam usia yang masih muda iaitu 28 tahun.

http://www.fazley.com/bio.html

Nasihat saya kepada saudara armansur hanya satu, buatlah apa sahaja yang saudara suka, asalkan tidak menjadi pemusnah kepada ekonomi umat Islam!

Wednesday, March 14, 2007

Teknik Topik Hangat!

Assalamualaikum wbt.

Kali ni saya nak ceritakan sikit pasal marketing. Ini tips Internet Marketing khas utk penulis2 blog. :) Mungkin saya kurang sesuai utk bincang bab ini sebab anda boleh dapatkan semuanya di merata2 tempat dalam internet terutamanya kalau untuk orang Malaysia dari kalangan otai2 seperti Shuth, SmartUsaha dll. Tapi disebabkan benda ni menarik membuatkan saya ingin berkongsi dengan anda semua.

Sudahkah anda join Technorati? Pernah nampak logo ini Add to Technorati Favorites di mana2? Ia adalah sebuah laman web yang mengumpulkan berjuta2 blog di seluruh dunia. Bila blog kita diupdate sahaja, Technorati akan mengupdatekan jugak maklumat blog kita di dalam website tersebut. Dengan ini orang ramai akan tahu kalau blog kita sudah diupdate.

Antara kelebihan dia yang paling best ialah tagging. Iaitu kita menyampaikan bentuk website kita dalam hanya beberapa patah perkataan sahaja. Boleh chek di bawah post2 saya untuk melihat tag2 yang boleh dijenguk di Technorati yang berkaitan dengan post kali ini. Tag2 ini akan dipaparkan di profile kita dan kalau hangat (ramai orang suka) akan dipaparkan jugak di main board Technorati.

Sebelum ni saya tak nampak sangat kesan Technorati. Tapi saya daftar sahaja dulu sebab otai2 Internet Marketing kata berkesan. Baru ni saya takde idea untuk meletakkan tag apa utk salah satu blog bisnes saya. Tiba-tiba kawan saya sarat dengan idea lawaknya menyuruh saya letak tag Melayu Boleh. Hehe. Sebelum ni memang saya pernah ceritakan kat dia mengenai pertandingan SEO di WangCyber berkenaan keyword "Melayu Boleh". Untuk pengetahuan anda keyword "Melayu Boleh" pernah hangat satu ketika dulu di internet. Sebab apa tu takmolah saya cerita, mungkin ramai dah tahu atau dapat agak. Dan saya rasa kepada yang tak tahu tu baik tak perlu tahu. :D

Hari ni selepas melihat statcounter blog RichGuide.blogspot.com, salah satu link yang membuatkan pelawat datang ke blog saya ialah dari technorati melalui tag "Melayu Boleh". Ramai jugak tu. Boleh katakan lebih dari 10. :D Tak sangka begitu hebat penangan "Melayu Boleh". Sebelum ni Shuth pun pernah menggunakan teknik yang sama dengan keyword "Cerita Ghairah". Huhu. Akhirnya sampailah orang yang nak mencari cerita ghairah tu ke website perniagaan internet yang paling ghairah sekali. :D Tu lah sapa suruh!

Begitulah dia kepoweran topik hangat yang kita sebarkan untuk menjadi iklan kepada bisnes kita. Kalau taruk tanda seruan lagi cepat orang serbu. Ada perasaan perlu segera di situ. Jadi kalau anda buat bisnes jangan lupa untuk menyelitkan daya tarikan seperti ini. Jangan buat tajuk iklan itu seperti ayat yang tak bermaya. Boring dan orang tak tertarik. :) Semoga berguna tips ini.

Tapi sedih gakla sebab orang2 muda kita ni dok tertarik dengan benda2 camni. Nampak macam gersang sangat pulak. Nasihat saya kahwinla cepat2. Kalau takde duit tu cepat2 cari duit. Daripada buat maksiat berterusan hanya mengumpulkan dosa sahaja sebagai bekal untuk dibawa ke hari akhirat. Orang lain bawak pahala.

So sebagai kesimpulan dari kes ini, saya ingin bertanya kepada semua apakah peranan kita sebagai MuslimKaya, Internet Marketer, Businessman ataupun siapa sahaja dalam mengatasi masalah sosial seperti ini? Boleh tuliskan komen untuk memberikan pendapat anda.

Sekian dari saya.. Social!!


Sunday, October 22, 2006

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam

Assalamualaikum wbt..

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba ini, saya mengucapkan..

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
&
MAAF ZAHIR DAN BATIN


kepada semua pengunjung MuslimKaya.blogspot.com :) Semoga kita semua diberkati oleh Allah dan dikurniakan keampunan di pagi hari raya..

Sedikit nasihat daripada saya sempena hari raya ini,
  • Dalam kita bergembira di hari raya, janganlah dilupakan insan-insan yang kurang bernasib baik. Orang2 fakir miskin, anak-anak yatim piatu, warga emas di rumah orang2 tua, saudara-saudara kita yang berada jauh di perantauan, saudara seIslam di Palestin, Lebanon, Acheh, Kashmir, Afghanistan dll tempat yang bergolak dan dilanda bencana alam.. Mereka tidak senasib dengan kita.. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan buat mereka dan janganlah lupa untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan..
  • Jangan lupa bayar zakat fitrah. Zakat fitrah sepatutnya dibayar awal sebelum hari raya lagi.. Ini supaya insan2 yang tidak bernasib baik, juga dapat merayakan hari yang mulia ini seperti mana insan2 yang lain.. Jadi kalau anda terlupa, anda sepatutnya merasa bersalah. Kerana orang2 seperti andalah menyebabkan ada orang lain yang tak dapat merasakan nikmat seperti kita.. Ingat, duit yang dikenakan zakat itu bukan duit anda.. Ia adalah milik mereka yang sepatutnya.. Jadi kalau anda tak beri zakat, maka anda makan duit haram dan harta anda tidak berkat.. Tapi kalau anda beri zakat, maka harta anda adalah suci dan bersih.. :)
  • Makanlah sekadarnya dan jangan makan berlebihan.. Sepatutnya latihan yang diberikan kepada kita sepanjang bulan puasa menjadikan kita seorang yang mampu menahan nafsu makan kita.. Bukanlah hari raya itu bermaksud kita boleh melepaskan semua nafsu makan kita yang telah kita tahan selama sebulan..
  • Berhati-hati di jalan raya.. Ingatlah orang yang tersayang.. Juga ingatlah akan tanggungjawab, hutang2 yang masih tertinggal tidak berbayar.. Juga jangan dilupakan amalan2 kita yang masih belum cukup untuk kita bawa sebagai bekal di hari akhirat nanti.. Semua itu akan disoal nanti yang akhirnya akan menyebabkan perjalanan kita menuju ke SYURGA idaman terbantut.. :)
  • Gunakan masa berharga sepanjang Syawal ini untuk berkunjung2an, bermaaf2an dan mengeratkan silaturrahim.. Janganlah menghabiskan masa dengan hanya berada di depan TV sahaja.. Inilah masa yang sangat berharga, yang mana ia akan membawa kita berjumpa semula dengan sahabat2 lampau, saudara mara yang jauh setahun sekali.. Seolah2 macam Jejak Kasih yang hanya ada setahun sekali.. :) Rancangan kat TV tu bila2 boleh tengok.. Beli aje VCD tengoklah puas2.. Tapi saudara mara dan sahabat handai?? Entahkan esok lusa, atau bila2 masa sahaja mereka akan meninggalkan kita tanpa kita sempat memohon maaf daripada mereka.. :)
Semoga Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa seribu makna buat kita semua.. Wallahualam..

Wassalam.

Tuesday, October 17, 2006

Pemenang Nobel 2006 - Wira Rakyat Miskin

Inilah dia contoh umat Islam yang membanggakan kita.. Mampu membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.. Semoga kita menjadikan beliau iktibar supaya turut sama membantu golongan yang kurang bernasib baik.. Baca kisah beliau seterusnya..

Photobucket - Video and Image Hosting


Prof Yunus - seorang muslim yg membantu fakir2 miskin, akhirnya menang hadiah Nobel 2006 dalam bulan Ramadan ..

Banker Org Miskin
Muhammad Yunus yg baru saja dianugerahkan Anugerah Nobel 2006 (Keamanan) meninggalkan kerjanya sebagai Professor Ekonomi di Dhaka apabila wabak kebuluran melanda Bangladesh dlm tahun 1974.

Beliau yg malu bila teori2 ekonominya langsung tidak praktikal utk membantu petani2 miskin yg dtg ke bandar dlm keadaan seperti mayat, mengendong anak2 kecil yg tiada makan akhirnya turun padang membantu.

Beliau berhenti kerja dan mencari jalan utk mengeluarkan org2 fakir ini dari kesusahan amat sgt ketika itu. Caranya?

Pinjamkan Duit !
Beri pinjam wang kepada WANITA (sahaja). Tanpa cengkeram, tanpa cagaran. Kelayakan meminjam? Tunjukkan yg anda betul2 miskin. Beliau mula2 meminjam dari bank dan menyalurkan wang ini kpd fakir2 utk MENIAGA atau memulakan PERTANIAN.

Sebelum ini golongan fakir terpaksa pinjam AhLong yg kenakan interest menggila sampai fakir2 ini jadi 2xfakir. Bank pulak taknak bantu sebab takde cagaran (bank nak tolong org yg tak perlu ditolong je!).

Org kata dia bodoh dan gila bagi org miskin pinkam tanpa cagaran. Apabila bilangan fakir yg perlu dibantu meningkat, dia menubuhkan Grameen Bank. Institusi yg akhirnya memalukan bank2 besar bila kadar bayaran balik adalah lebih dari 99%. Ha! Sapa kata org miskin takleh bayar balik?

Muhammad Yunus memberi harapan paling besar utk golongan fakir di Bangladesh berbanding mana2 pemimpin di sana sebelum itu.

Sekarang Ini
Bank beliau buat masa ini telah memberi pinjaman sebanyak lebih $4.7 billion US dolar kepada 4.4 juta golongan fakir.

Gramen Bank juga telah berkembang dan telah adakan kilang2, sykt. phone (antar terbesar di bangladesh), sykt baju, sistem pertanian kelompok dan mcm2 lagi utk bantu org miskin.

Sistem beliau yg dikatakan gila ini akhirnya dicontohi oleh 250 institusi seluruh dunia. Kat sini, Malaysia contohi dgn dibuat Amanah Ikhtiar Malaysia.

Ambil Iktibar
Moga2 kisah Prof Yunus jadi tauladan kita semua. Mulianya hati beliau dan kesungguhan beliau membantu akhirnya merubah fakir2 Bangladesh dan juga org2 yg memerlukan di seluruh dunia.

Inilah contoh Banker yg diperlukan org kita. Syukur dia ni org Islam. Moga2 Allah beri kita semua kekuatan utk bantu sekurang2nya ahli keluarga kita, jiran2, rakan2, org disekeliling kita dan yg memerlukan. Aminn..

credit to Iskandar, BicaraJutawan.

http://www.my-inspirational-quotes.com/inspirational-stories/prof-yunus.html


Tajdid Iman : Islam Galak Umat Kaya Harta Benda

Bersama Dr Juanda Jaya

Sifat zuhud fahami kekayaan milik sementara, tidak kuasai hati nurani

SUATU hari Abdullah bin Abbas memakai pakaian paling indah dan mahal berharga 10,000 dirham.


Beliau bermaksud mengadakan dialog dengan kaum Khawarij yang memberontak.

Orang Khawarij adalah golongan yang kuat beribadat tetapi mengetepikan ilmu dan tidak mahu mempelajari al-Quran, fiqh dan hadis Rasulullah SAW.

Mereka terkenal sebagai kaum yang degil, berpuak-puak dan membenci sesiapa saja yang tidak sefahaman dengan mereka.

Abdullah bin Abbas mandi dan memakai wangian paling harum, menyikat rambutnya serta mengenakan pakaian indah dan bersih.

Beliau akan berhadapan dengan orang-orang degil yang memakai baju bertampal-tampal, muka yang berdebu dan kusut masai.

Mereka berkata, “Kamu adalah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Mengapa kamu memakai pakaian seperti ini? Abdullah bin Abbas menjawab, “Apakah kalian lebih tahu mengenai Rasulullah SAW berbanding saya?.

Mereka berkata, “Tentulah kamu yang lebih tahu.” Abdullah berkata lagi, “Demi Allah yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW berpakaian dengan mengenakan perhiasan berwarna merah dan itu adalah sebaik-baik perhiasan.”

Aisyah pada suatu ketika melihat sekumpulan pemuda berjalan dalam keadaan lemah, pucat dan kelihatan malas. Beliau bertanya, “Siapakah mereka itu?” Sahabat menjawab, “Mereka itu adalah kumpulan ahli ibadat.”

Kemudian Aisyah berkata, “Demi Allah, yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya Umar bin al-Khattab adalah orang yang lebih bertakwa dan lebih takut kepada Allah berbanding mereka itu.

Kalau beliau berjalan, beliau berjalan dengan cepat dan tangkas.

Apabila bercakap, beliau dalam keadaan berwibawa, jelas kedengaran percakapannya dan apabila beliau memukul, pukulannya terasa sakit.”

Hal ini semua berlaku adalah akibat memahami ilmu secara kurang menyeluruh, memberatkan hal ibadat yang sebenarnya mudah, sampai ke tahap berlebih-lebihan dan menyusahkan diri.

Begitulah keadaan sebahagian umat Islam yang lupa kepada wasiat Rasulullah SAW yang disampaikan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal ketika beliau dikirim menjadi Duta dakwah ke negeri Yaman. Kata Baginda yang maksudnya: "Wahai Muaz, mudahkanlah setiap urusan, jangan memberat-beratkannya."

Apakah agama Islam mengajar untuk membenci dunia? Kalau begitu, mengapa Abu Bakar al-Siddiq boleh berbangga dengan harta kekayaannya untuk membela agama Allah? Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin 'Affan yang mengeluarkan perbelanjaan membiayai gerombolan tentera Allah dengan wang daripada poket mereka sendiri.

Adakah Rasulullah SAW melarang mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan duniawi?

Bahkan di dalam al-Quran, Allah menegaskan bagi sesiapa yang menolong agama Allah mereka wajib mempunyai bekalan. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh-musuhmu." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Bagaimanakah Islam akan menang jika umatnya adalah mereka yang berada dalam skala Negara Dunia Ketiga? Negara miskin dan terkebelakang serta dikuasai oleh musuhnya.

Apabila mereka hendak membeli makanan, mereka terpaksa meminta belas ihsan orang kafir.

Apakah zuhud itu bererti membiarkan dunia dimiliki dan dikuasai oleh musuh Allah? Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: "Apabila emas seberat gunung diamanahkan kepadaku, aku tidak akan tidur selagi ia tidak habis dimanfaatkan untuk umat Islam."

Sebagai panduan bersama, ingatlah pandangan Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah.

Beliau berkata: "Zuhud itu adalah kamu meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah untuk akhiratmu."

Harta yang halal hendaklah dipastikan dikeluarkan pada tempat yang halal.

Jangan mencari di lubuk yang halal saja tetapi membelanjakannya pada jalan maksiat.

Atau kebalikannya, mengambil daripada sarang penyamun dan membelanjakannya untuk ibadat.

Itu semua bertentangan dengan perintah Allah.

Orang beriman percaya harta adalah titipan dan amanah Allah, pinjaman sementara dan bila-bila saja Dia mahukannya, akan lenyaplah ia daripada tangan kita.

Cukuplah ia berada dalam genggaman tangan, jangan masuk menguasai hati nurani.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya mengenai seorang lelaki yang memiliki harta kekayaan sebanyak 100,000 dinar wang emas.

Bolehkan dia dikatakan sebagai seorang yang zahid? Beliau menjawab: "Lelaki itu dikatakan zuhud apabila ada dua sifat:


Tidak terlalu bergembira ketika hartanya bertambah.


Tidak terlalu berduka cita apabila hartanya berkurangan."

Nikmatilah dunia dan segala kesenangannya tetapi pastikan harta yang dimiliki tidak menahan langkah di akhirat kelak dan melambatkan perjalanan ke pintu syurga.

Ia kerana semakin banyak harta, maka pasti semakin rumit hisab perhitungan yang dilakukan, kecuali harta yang halal yang dibelanjakan untuk keredaan Allah.

Jika pegawai Badan Pencegah Rasuah datang menyiasat harta dan ia adalah suatu yang menggerunkan, maka bagaimana dengan penyiasatan mahkamah Allah nanti, yang pasti memiliki segala bukti?

INTI PATI

Islam menggalakkan umatNya bekerja bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan duniawi.

Segala kekayaan dianugerahkan Allah hendaklah dibelanjakan ke jalan Allah.

Rasulullah berpesan supaya umat Baginda tidak memberatkan hal ibadat yang sebenarnya mudah, sampai ke tahap berlebih-lebihan sehingga menyusahkan diri.

Islam mahu umat kaya dengan harta benda agar tidak ditindas kerana jika miskin terpaksa minta bantuan orang kafir.

Sunday, October 15, 2006

Kisah Sahabat : Abdul Rahman Bin 'Auf

Kisah Sahabat : Abdul Rahman Bin 'Auf orang kaya berpendirian mulia

SAHABAT Nabi Muhammad SAW, Abdul Rahman Auf adalah contoh orang kaya yang semakin tawaduk kepada Allah dan merendah diri apabila dikurniakan kekayaan. Beliau adalah orang kaya bersifat mulia.

Abdul Rahman yang terkenal sebagai pedagang kaya tidak mudah terbawa-bawa dengan kekayaannya, sebaliknya sentiasa teguh berpegang kepada Islam. Inilah antara keistimewaan yang menyebabkan Abdul Rahman mampu menerima amanah Rasulullah SAW dalam usaha menegakkan Islam.

Suatu hari selepas melihat pelbagai penderitaan yang dialami oleh sahabatnya, Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: "Lebih baik kamu meninggalkan Makkah menuju ke negeri Abisinia kerana di sana ada sebuah kerajaan yang tidak berlaku zalim terhadap rakyatnya. Itulah suatu tempat yang cukup baik untuk melakukan hijrah sampai saat Tuhan membukakan jalan bagi kamu sekalian."

Apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW itu meninggalkan kesan mendalam kepada sahabatnya. Tidak lama kemudian, rombongan pertama seramai 10 lelaki dan empat wanita melakukan hijrah. Selepas itu, rombongan kedua kaum Quraisy daripada 83 lelaki, 17 wanita dan kanak-kanak pula, menyusuli mereka.

Mereka yang turut berhijrah ialah Usman bin Affan yang kemudian muncul sebagai seorang daripada khalifah Islam. Usman berhijrah bersama isterinya, Rukiah, iaitu puteri Rasulullah SAW.

Turut berhijrah ialah Abdul Rahman. Penyertaan Abdul Rahman dalam kumpulan yang berhijrah itu membawa makna besar kepada rombongan itu. Perkara sedemikian kerana dia adalah orang berada. Disebabkan kedudukannya itu, dia kelak dapat membantu kumpulan umat Islam dalam apa juga masalah.

Abdul Rahman adalah pedagang berjaya dan dipandang tinggi oleh kaumnya. Ia tidak syak lagi memberikan kekuatan dan keyakinan kepada mereka untuk mengharungi perjuangan menegakkan Islam dengan lebih baik.

Pengorbanan Abdul Rahman memang besar dalam menegak dan meninggikan syariat Islam. Orang kaya sepertinya sanggup mengharungi penderitaan semata-mata mahu menegakkan agamanya.

Sifat yang ada pada Abdul Rahman amat bernilai kepada perjuangan Islam pada zamannya. Dengan kekayaan yang ada, Abdul Rahman memilih untuk mengharung kesusahan dan penderitaan demi menegakkan syiar Islam di bumi.

Tanpa rasa malu dan takut, dia bergerak bersama umat Islam lain dalam rombongan hijrah seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW itu. Sesungguhnya perpindahan Abdul Rahman dalam misi hijrah anjuran Rasulullah SAW itu adalah pengorbanan paling besar dalam rangka menegakkan Islam pada masa depan.

Selain dikenali sebagai orang kaya, Abdul Rahman adalah seorang perunding bijaksana. Perkara ini dapat dilihat dalam satu peristiwa selepas Saidina Umar al-Khattab meninggal dunia. Sahabat Rasulullah SAW berkumpul di rumah seorang sahabat bernama Miswar bin Makhram.

Seperti biasa, dalam majlis perbincangan, timbul pelbagai pendapat yang berbeza. Hal ini juga berlaku dalam perjumpaan di rumah Miswar. Sedikit sebanyak dalam perjumpaan itu, timbul hasrat beberapa sahabat yang ingin menjadi pemimpin. Dalam pada itu, ada juga yang berfikiran rasional serta tidak mementingkan diri seperti Talhah.

Beliau berpendapat adalah lebih baik baginya tidak menjadi pemimpin sekiranya ia hanya berkemungkinan menindas sesama sendiri.

Talhah bimbang jika beliau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan orang lain jika dilantik sebagai pemimpin. Biarlah mereka yang layak mengurus dengan adil dilantik sebagai pemimpin.

Sewaktu pelbagai pendapat yang boleh mencetuskan konflik timbul di kalangan sahabat itu, ternyata Abdul Rahman mempunyai pendirian mulia. Beliau seboleh-bolehnya tidak mahu konflik yang tidak mendatangkan faedah dan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan krisis.

Oleh itu, Abdul Rahman memikirkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah dihadapi sahabat yang bermesyuarat itu.

Akhirnya, beliau mengemukakan formula dan diterima dengan baik oleh semua pihak.

Menurut kaedah Abdul Rahman, sesiapa yang tidak bersedia menjadi khalifah, eloklah menarik diri daripada dicalonkan menduduki jawatan itu. Sebaliknya, mereka boleh menyerahkan jawatan itu kepada orang terbaik di kalangan mereka.

Sebagai membuktikan keikhlasannya, Abdul Rahman sendiri membuat pengakuan pada majlis itu dengan menarik diri daripada dicalonkan ke jawatan khalifah.

Pengakuan terbuka Abdul Rahman itu sesungguhnya menjadi kaedah kepemimpinan melalui teladan yang sangat murni sifatnya.

Kita sedia maklum biasanya seseorang yang sudah ada kekayaan tentulah ingin pula mencapai kedudukan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, tidak demikian halnya dengan Abdul Rahman. Sungguhpun dengan segala kekayaan yang ada padanya, sudah cukup untuk mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk melantiknya menjadi khalifah tetapi dia tidak mahu berbuat demikian semata-mata kerana tuntutan nafsu.

Friday, October 13, 2006

Isu Denmark dan Jihad Ekonomi

Isu Denmark dan Jihad Ekonomi

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Walaupun agak lama kita amat terluka melihat umat yang dipukul bertalu-talu. Namun apa yang berlaku kebelakangan ini, dapatlah menjadi sedikit pengubat bagi keperitan itu. Isu lukisan kartun yang menghina kekasih dan hati nurani umat ini iaitu baginda Nabi s.a.w telah membangkitkan kemarahan yang hebat. Ia bukan sekadar demonstrasi jalanan yang berakhir setelah letih menjerit dan habis kain bendera untuk dibakar. Bahkan ia disertai dengan tindakan pemulauan barangan Denmark yang benar-benar memberikan kesan ekonomi kepada negara terkutuk itu. Allahu Akbar!!! Umat ini masih hidup rupanya. Kali ini bukan sahaja rakyat bawahan, bahkan kerajaan dan pemerintah umat Islam juga sudah berani bersuara.


Kerajaan Arab Saudi menjadi bintang yang bercahaya apabila mereka menarik balik duta dan memulaukan barangan Denmark. Rakyat Arab Saudi dan negara-negara Teluk yang lain memulaukan dengan serius barangan Denmark. Barangan negara keji itu dikeluarkan sendiri oleh empunya-empunya pasaraya dari rak-rak jualan mereka. Persoalan untung rugi harta sudah bukan keutamaan lagi apabila kekasih tercinta RasululLah dihina. Kaum muslimin di kebanyakan negara Arab menyahut seruan tersebut, khusus negara-negara Teluk yang kaya-raya. Ternyata ia amat berkesan. Ekonomi syarikat-syarikat Denmark yang berdagang dengan negara-negara umat Islam merudum jatuh. Sehingga syarikat-syarikat gergasi lain yang bukan dari Denmark terpaksa membuat pengemuman terbuka bahawa mereka bukan berasal dari Denmark.

Terbukti, umat ini sangat kuat jika bersatu hati. Kalaulah hanya ‘tidak membeli’ sahaja umat Islam boleh menggugat ekonomi sesebuah negara. Bagaimana jadinya jika kita ini negara pengeluar dan kuasa ekonomi yang ‘tidak ingin menjual’. Tentu kesannya lebih daripada itu. Namun apabila kita bercerai-berai kita menjadi lemah. Kita lemah kerana ramai di kalangan kita yang tidak berprinsip lantas tidak merasai kita satu ini satu juzuk dari umat Islam. Manusia yang tidak berprinsip akan mengukur setiap tindakan dengan habuan dunia semata. Prinsip hidupnya ‘apapun utamakan perut sendiri dulu’. Malang sekali jika kita tidak sensitif dengan isu Denmark, sedangkan rakyat Palestin dan Afghanistan sekalipun sentiasa dihimpit tetap bangun meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada dunia apabila Rasul yang mulia telah dihina. Arab Saudi paling hebat dalam kes ini dari segi kesan tindakan pimpinan negara dan rakyat. Walaupun mereka tidak buat sambutan maulid saban tahun sehebat kita, tetapi kesetiaan mereka lebih jelas. Sekalipun kita berarak maulid hebat saban tahun, namun kita tetap corot dari segi penampilan sikap. Ramai orang kita yang ‘tidak ambil tahu apa yang berlaku’. Barang kali ini boleh membezakan antara kecintaan yang tulen, dan penampilan kecintaan yang tidak berpijak atas asas yang kukuh.

Jika kuasa ekonomi dan harta digunakan dengan cara yang betul, memang banyak maruah dan harga diri umat dapat dibela. Kuasa ekonomi sangat penting. Namun yang lebih penting ialah akidah yang tulen yang memastikan kesetiaan kepada ALLAH dan RasulNya lebih dari kecintaan kepada harta. Jika tidak, yang bercakap pada ‘jihad ekonomi’ pun, takut hendak boikot barangan Denmark. Padahal ini sebahagian dari jihad ekonomi.

Justeru, sekalipun harta dunia sangat mustahak untuk kita miliki dan kuasai dalam persaingan era ini, tetapi harta tersebut hendaklah bersifat harta yang membela agama. Bukan mengganggu kesetiaan seseorang kepada agama. Dengan itu ALLAH menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)” (Surah al-Taubah: 24)

Jelas, jika kita ingin memperkatakan perjuangan umat Islam di sudut ekonomi, kita mesti menyiapkan manusia berakidah murni terhadap ALLAH dan RasulNya. Hanya golongan ini yang akan jujur terhadap umat ini. Kaum yang wala`nya jelas kepada ALLAH, rasulNya dan masyarakat Islam. Firman ALLAH: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang. (Surah al-Maidah: 54-56)

Jika tidak, jadilah kita kumpulan manusia yang kaya raya dan dengan kekayaan itu kita makin meninggalkan agamanya. Kempen kepada “Jihad Ekonomi” mestilah bermula dari pengukuhan akidah para pejuangnya sebelum terjun ke medan yang sengit itu. Ini kerana, cabaran dan ujian harta lebih dahsyat daripada cabaran dan ujian senjata. Di medan jihad senjata lagikan ada yang terseleweng tujuannya kerana inginkan harta rampasan perang. Inikan pula mereka yang berjihad di medan ekonomi. Malangnya, kempen jihad ekonomi yang diperkatakan oleh sesetengah pihak, titik perjuangannya bermula dari ‘aku ingin kaya’. Tanpa dikaitkan dengan perjuangan umat dan kehidupan akhirat. Maka apabila dia kaya maka dia pun menderhakai ALLAH s.w.t. dengan hartanya.

Jika diandaikan kebanyakan umat Islam ini kaya, tetapi mereka tidak teguh akidahnya, Islam tetap akan lemah. Bahkan kekayaan itulah yang akan memusnahkan agama. Dengan kekayaan itu, berbagai projek munkar akan dihidupkan. Ini seperti sabda Nabi s.a.w: “Demi ALLAH bukan kefakiran yang aku takut menimpa kamu. Tetapi aku takut dibentangkan kepada kamu dunia seperti pernah dibentangkan kepada mereka yang sebelum kamu. Lalu kamu bersaingan mendapatkannya seperti mana mereka dahulunya bersaingan, lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti ia telah memusnahkan mereka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kelemahan akidah telah mengheret umat ini kepada segala macam kelemahan yang lain. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa Dunia Islam..kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan, pemikiran dan kebudayaan (Muhammad Qutb, Waqi'una al-Mu‘asir, m.s. 172, Saudi: Muassasah al-Madinah)



Akidah adalah tunjang kepada segala bentuk jihad. Jihad tidak lain hanya bertujuan untuk menjadikan kalimah ALLAH yang paling tinggi. Bukan untuk kepentingan diri. Malangnya, apabila asas ini tidak jelas, kempen mengkayakan orang Islam hanya sekadar untuk memenuhi tembolok masing-masing semata. Nama Islam dan jihad telah disalahgunakan. Dalam hadith Abu Musa r.a: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: “Seorang lelaki berperang untuk (mendapat) harta rampasan perang, seorang lagi berperang agar dipuji, seorang yang lain berperang untuk mengangkat kedudukannya. Siapakah yang berada dalam jihad pada jalan ALLAH? Sabda baginda: “Sesiapa yang berperang agar kalimah ALLAH menjadi yang paling tinggi maka dia berada pada jalan ALLAH”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dunia hari ini sudah berubah dibandingkan dahulu. Bukan hanya kekuatan persenjataan yang menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara itu terhadap percaturan dunia. Bahkan ekonomi juga memainkan peranan penting dalam menentukan percaturan dunia. Firman Allah:(maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal: 60)



Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh-musuh umat. Kekuatan yang mesti disiapkan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda adalah salah satu daripadanya yang dapat dilihat oleh manusia di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu. Pada zaman sekarang dari segi persenjataan, senjata-senjata canggih yang wujud pula menduduki tempat tugasan menggerunkan musuh. Maka umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu, kekuatan ekonomi juga adalah senjata baru dalam membina kekuasaan di era moden. Kekuatan ekonomi mampu membawa kepada hasrat yang sama iaitu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi di zaman ini adalah satu tuntutan agama.

Namun seperti yang dijelaskan tadi, ia hendaklah berpaksikan akidah Islam yang tulen yang akan mewarnai segala tidakan kita. Kekuatan kita bergantung sepenuhnya dengan sejauh mana kita berpegang dengan Islam. Tanpa pertolongan ALLAH yang menurunkan Islam untuk manusia, mustahil kita dapat keluar dari kehinaan hidup dan kejatuhan maruah di pentas dunia hari ini. benarlah ucapan ‘Umar ibn Khattab:“Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah” (Riwayat ini sanadnya disahihkan oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Dhahabi. Lihat: Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut.)



Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh menggambar betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah. Sehingga al-Nadwi menyatakan: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya” (Al-Nadwi, Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, India: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi)



Daripada akidah yang tulen lahirnya rasa ukhuwwah sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi.



Sekiranya kesedaran akidah dan ukhuwwah islamiyyah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Ini saya katakan berdasarkan faktor-foktor berikut:



i. Kuasa Membeli Yang Tinggi

Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli yang tinggi. Lihat sahaja kuasa membeli ini apabila digunakan dalam isu Denmark. Ini kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dialirkan kepada membeli barangan yang dihasilkan oleh umat Islam sendiri, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa



ii. Sentimen Agama

Isu-isu seperti kebiadapan Barat, sikap anti-Islam mereka, pencerobohan ke atas negara umat Islam, mengenai makanan tidak halal dan seumpamanya telah menimbulkan keresahan kebanyakan umat Islam yang sensitif dengan penghinaan terhadap mereka. Umat Islam dipermainkan kerana mereka bergantung kepada orang lain dalam menghasilkan keperluan mereka. Dalam isu halal umpamanya, kesempatan ini boleh diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan. Maka kita menggesa mereka menggunakan produk muslim yang seakidah dengan mereka. Bahkan kita boleh mencadangkan agar bukan sahaja logo halal dikeluarkan, sebaliknya kita keluarkan logo yang melambang produk muslim-halal. Dengan itu wang umat kembali dialirkan ke tangan umat sendiri.



iii. Ketengangan Yang Wujud

Ketegangan yang wujud sekarang antara Blok Barat dan Umat Islam boleh membantu ke arah mewujudkan umat yang lebih memiliki jatidiri dan berdikari. Orang Islam khasnya arab rasa tidak lagi selamat berada di negara Barat. Mereka mula merubah arah ke negara-negara seperti Malaysia. Jika pelancong-peloncong Arab ramai yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga hanya ingin membeli produk saudara muslim mereka sahaja.



iv. Banyak Ruang Belum Diterokai

Walaupun agak banyak produk muslim yang diwujud di pasaran, namun secara perbandingan kita masih ketinggalan jauh. Jika kesedaran yang ingin kita pupuk itu berjaya, ruang menghasilkan berbagai produk terbuka luas peluangnya untuk setiap muslim. Sehingga hari ini kita belum memiliki satu pasaraya yang memasarkan hanya barangan keluaran muslim. Jika ini dapat dijayakan, hasrat ke arah pembinaan kekuatan ekonomi muslim tempatan dan antarabangsa bertambah mudah.



Dalam perkara ini saya sering memetik kata-kata Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. yang mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”.( Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, cetakan: Maktab al-Sunnah, Kaherah)



Dr. Yusuf al-Qaradawi mengeluh perkara yang sama dengan katanya: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita...jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)

Jihad Ekonomi hendaklah bertunjangkan akidah dan arahnya membina kekuatan umat atas acuan Islam yang tulen!!!.

Tanggungjawab Menyokong Perniagaan Muslim

Oleh : Mohd Asri b. Zainul Abidin
moasriza@yahoo.com

Sikap tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Membantu sesama muslim adalah antara tanggungjawab yang mesti dipikul oleh bahu setiap yang beriman dengan ayat Allah (maksudnya) “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara” (Surah al-Hujurat ayat 10). Bagi membuktikan persaudaraan islam yang tulin, baginda Nabi s.a.w. menghuraikan di dalam hadithnya, daripada Abi Musa r.a., sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu, mungkin salah satunya perkauman.


Di samping itu kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Padahal dalam keadaan sebeginilah setiap umat Islam lebih dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Juga menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Ianya juga menguatkan ekonomi umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa harta serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain” di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, jld 1, m.s. 199,cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut).

Jika ada peniaga muslim di sesuatu tempat, pembeli muslim yang lain hendak membantunya dengan membeli daripadanya. Janganlah dijadikan perbezaan harga yang sedikit menjadi ukuran. Ini kerana kita tahu, kekuatan ekonomi saudara kita masih lemah dalam menghadapi persaingan. Jadikan akidah dan persaudaraan lebih utama, dan anggaplah membeli daripada saudara kita yang muslim adalah ibadah.

Demikian juga jika ada barangan keluaran muslim, pembeli muslim yang lain hendaklah membeli daripadanya. Jangan jadikan perbezaan rasa dan kualiti yang sedikit, menyebabkan kita menggadaikan persaudaraan kita. Membeli barangan saudara kita yang muslim adalah ibadah. Apatah lagi dalam keadaan kita sedang berusaha membangkit umat yang kebelakang dalam persaingan ekonominya. Ini semua menunaikan apa yang digesa di dalam hadith yang sahih, sabda Nabi s.a.w: “Bandingan golongan mukminin di dalam kasih-sayang, simpati dan tolong menolong antara satu sama lain seperti satu jasad. Sekiranya satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh anggota akan berjaga malam dan demam panas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bayangkan kalau semua rumah muslim menggunakan barang keperluan makanan hariannya seperti rempah, sos, kicap, minyak masak dan lain-lain keluaran muslim, betapa kita telah menguatkan ekonomi saudara-saudara kita para peniaga muslim, dan memastikan wang kita sebagai pembeli muslim mengalir kepada saudara kita muslim yang lain. Terngamakkah kita menggunakan barangan “orang lain” dan meninggalkan barangan saudara muslim kita. Iman yang tulin membantah tindakan ini. Bahkan dalam arus persaingan yang ada, kita sebenarnya mengkhianati saudara kita para peniaga muslim, yang sedang melaksanakan fardu kifayah mengeluarkan barangan tersebut. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang muslim itu saudara muslim yang lain. Dia tidak akan mengkhianatinya, mendustainya dan menghinanya. Setiap muslim haram (mencemar) maruah, harta dan darah muslim yang lain. Taqwa itu di sini (hati). Cukuplah untuk dianggap seseorang melakukan kejahatan dengan dia menghina saudara muslimnya. (Riwayat al-Tirmizi, kata hadith ini hasan. Kata al-Sakhawi: Ianya hasan sahih)

Ibn `Allan (meninggal 1057H) ketika menghuraikan maksud “tidak mengkhianatinya”, berkata: “mengkhianatinya ialah mengurangkan haknya yang mesti ditunaikan iaitu tolong menolong dan bantu membantu” (Ibn `Allan, Dalil al-Falihin, jld. 1, m.s. 17, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)

Hadith-hadith lain begitu banyak yang menunjukkan betapa seorang muslim wajib menolong saudaranya muslim yang lain. Seperti yang disebutkan tadi, suasana persaingan yang ada menuntut untuk semangat ukhuwwah dipertingkatkan. Malangnya sebahagian kuliah-kuliah hambar di masjid dan surau tidak menekan peri pentingnya hal ini. Sehingga kita menjadi lemah. Pengusaha-pengusaha muslim tidak mendapat sokongan daripada saudara seakidahnya sendiri.

Bayangkan sekiranya setiap kedai makan dan restoran yang dimiliki oleh orang muslim yang tumbuh bagaikan cendawan kebelakangan ini menggunakan produk buatan muslim, betapa kita berjaya menguatkan ekonomi umat membantu antara satu sama lain. Bayangkan setiap perniagaan muslim mendapat sokongan daripada saudara muslim yang lain. Tentu wang umat akan berkisar sesama umat dan penglibatan muslim dalam bidang perniagaan akan dapat ditingkatkan.

Berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan, nyata membeli barangan muslim dengan niat persaudaraan Islam dan ingin membantunya adalah ibadah. Dalam kata lain, pembeli muslim bukan sahaja memperolehi barang, tetapi dia juga memperolehi pahala. Jika ada sedikit sebanyak kekurangan, dalam suasana lemah dan persaingan yang ada, kita hendaklah menasihati saudara kita penjual muslim dan bersabar.

Di sudut para peniaga muslim pula, mereka hendaklah mengamalkan akhlak Islam dalam perniagaan. Proses menghidupkan suasana tolong menolong di dalam memajukan perniagaan muslim tidak akan berjaya jika tidak wujudnya kesedaran dari kedua belah pihak. Perkara yang paling buruk sekali di dalam perniagaan ialah penipuan. Peniaga muslim ketika mengendalikan perniagaan, atau mengeluarkan produknya hendaklah amanah dan sama sekali mengelakkan anasir penipuan di dalam perniagaan. Para penipu umat tidak termasuk di kalangan umat Nabi s.a.w. dan tidak layak mendapat pertolongan di dalam kalangan masyarakat muslim yang kita idamkan. Dalam hadith riwayat Muslim, Rasulallah s.a.w. lalu di hadapan selonggok makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangan baginda ke dalamnya. Kemudian di dapati jari baginda lembab. Bagianda bertanya: Apa ini wahai tuan punya makanan?. Jawabnya: Ianya terkena hujan, wahai Rasululallah!. Baginda lantas bersabda: “Mengapa engkau tidak letak ianya di atas, sehingga orang boleh lihat?!!. Sesiapa yang menipu kami dia bukan dari kalangan kami”. Di dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bagi setiap yang belot (menyalahi janji) ada bendera pada hari kiamat, dikatakan inilah pengkhianat si pulan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata Dr. Muhammad `Ali al-Hasyimi: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. begitu keras terhadap penipuan, tipu daya dan pemungkir janji, tidak memadai sekadar mencampak jauh penipu dan pengkhianat janji dari masyarakat muslimin di dunia, bahkan mengistiharkan bahawa setiap pemungkir janji akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan dia membawa bendera penipuan” (Dr. Muhammmad `Ali al-Hasyimi, Syakhsiah al-Muslim, m.s. 164, cetakan: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)

Berbekalkan perasaan takutkan azab Allah pada hari kiamat, para peniaga muslim mengeluarkan produknya, atau mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah dan tanpa sebarang tipu daya. Masyarakat Islam pula berusaha membeli barangan para peniaga saudara muslim mereka yang dijamin kejujurannya. Para pembeli dalam masyarakat Islam beribadah ketika membeli, sementara para peniaga pula beribadah ketika menguruskan peniagaan dengan jujur dan amanah. Hasilnya para peniaga muslim mendapat jaminan pasaran daripada saudara-saudara muslim mereka, sementara para pembeli mendapat barangan yang dijamin kejujuran pengurusan dan produknya. Jaminan ini tidak tertera di atas kertas perjanjian rasmi, tetapi ianya adalah jaminan iman dan taqwa yang melahirkan ukhuwwah islamiyyah atau persaudaraan islam yang melebihi segala persaudaraan dan perjanjian. Firman Allah: “Bertolong menolonglah kamu di dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong di dalam dosa dan permusuhan” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Di samping itu, perlu diingatkan bahawa para peniaga muslim perlulah memastikan kualiti dalam pengeluaran dan pengurusan. Ini kerana sikap yang amanah sahaja, tanpa kualiti barangan tidak akan dapat memenuhi sasaran. Al-Quran menyebut: "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)."(Surah al-Qasas, ayat 26). Kelayakan mengendali sesuatu urusan mestilah bergabungnya dua faktor; pertama amanah, kedua; kemampuan atau kemahiran. Sekiranya peniaga muslim menggabungkan di dalam dirinya sikap amanah berserta kualiti perniagaan, maka dia memberikan khidmat yang memuaskan hati umat yang sedang bersiap untuk membantu mereka dengan cara membeli produk-produk yang dikeluarkan. Bersemaraklah suasana tolong menolong di atas dasar taqwa.

Juga antara ciri tolong-menolong ialah memudahkan pembeli. Sebagai contohnya; adalah mendukacitakan, apabila kita dapati ada kedai runcit muslim yang sebahagian barangan penting yang menjadi keperluan tidak dijual di dalamnya. Bila ditanya, jawab empunya kedai “untungnya tidak seberapa” atau “untungnya tipis”. Tidakkah dia berfikir sekiranya dia menyediakan barangan tersebut dia telah memudahkan pembeli yang datang ke kedainya, supaya mereka tidak perlu ke kedai lain lagi. Dalam masa yang sama ianya adalah tarikan kepada pembeli dan memudahkan urusan mereka. Memudahkan urusan orang lain adalah ibadah, dan juga membawa faedah kepada perniagaan. Perkara seperti ini sepatutnya difahami dengan baik oleh peniaga muslim. Dalam hadith Nabi s.a.w. bersabda: “..engkau menolong orang lain mengangkat barang ke atas kenderaannya adalah sedekah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tentulah peniaga yang menolong pembeli memudah kerja pembelinya adalah sedekah. Demikian dia berniaga dan beribadah.

Hendaklah kita semua meniru apa yang dilakukan oleh kaum al-`Asy`ariyin (kaum Abu Musa al-`Asy`ari) yang sentiasa tolong menolong antara mereka. Rasulullah s.a.w. memuji mereka, sabda baginda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila keluar berperang, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksud “ Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.

Hadith ini memperlihatkan betapa sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama sendiri dalam keadaan terdesak sangat dituntut. Demikianlah membeli barangan muslim dalam keadaan kekuatan ekonomi tidak berada di tangan umat adalah lebih dituntut. Ini bukanlah menggambarkan sikap jumud dan taksub kepada puak. Nabi s.a.w. dalam hadith di atas memuji kaum al-`As`ariyin yang sentiasa tolong menolong sesama sendiri dan tidak menganggap itu sebagai sikap berpuak yang dicemuh. Sebaliknya baginda memuji mereka. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mabadik wa qawa`id `ammah, m.s. 134, Dar al-Fikr, Beirut).

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Umat wajib terus berusaha mengeluarkan berbagai produk dan keperluan sehingga kita tidak bergantung kepada orang lain. Setiap individu muslim hanya ada dua pilihan di hadapannya, samada dia menjadi pengeluar barangan atau pembeli barang keluaran saudara muslimnya yang lain. Mereka yang tidak menyertai kempen ini, melupai bahawa diri mereka adalah satu juzuk daripada umat, juga melupai tanggungjawab ukhuwwah islamiyyah. Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain..” (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, cetakan: Maktab al-Sunnah, Kaherah).

Marilah kita mengambil pengajaran daripada apa yang disebut oleh Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi ini agar kita bersegera membaiki diri dan kekuatan umat. Umat Islam di tanahair kita jumlahnya banyak, kita memiliki kuasa membeli yang tinggi, malangnya kita tidak tahu bagaimana mengalirkannya dengan tepat

Memulihkan Kekuatan Ekonomi Umat Islam

Oleh : Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin.
Ditaip semula oleh : Abdul Kadir

Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya sabda Nabi S.A.W. : “Sesungguhnya kaum al-‘Asy’ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripada aku dan aku daripada mereka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith di atas, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. baginda S.A.W memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-‘Asy’ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah mengambarkan redhanya Nabi S.A.W. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah S.W.T.


Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas “Sesungguhnya Nabi S.A.W. memerangi asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-‘Asy’ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin menjamin dan bantu membantu dalam harta, juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan”. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mubadik wa qawa’id ‘ammah, m.s. 134. Dar al-Fikr, Beirut)

Ini kerana seseorang individu atau sesebuah organisasi kadang-kala tidak dapat melaksanakan bantu-membantu atau jamin-menjamin dalam kebajikan meliputi semua masyarakat. Maka sekurang-kurangnya hedaklah dibuat dalam batasan kelompok yang termampu. Namun konsep kebajikan tidaklah boleh dihadkan hanya kepada sekelompok manusia sahaja, jika ada ruang atau tuntutan maka ianya mesti diluaskan. Tidak boleh pula menolong sesama sendiri sehingga ada pihak yang terzalim atau menyempitkan maksud pertolongan sehingga tidak diberi pertolongan melainkan hanya kepada kaum atau kumpulan sendiri sahaja. Ini untuk mengelakkan sikap asabiyyah yang menolong kaum atau kumpulan sendiri sekalipun atas nilai kezaliman. Apabila ditanya Nabi S.A.W. :

“Wahai Rasulullah ! apakah termasuk di dalam asabiyyah jika seseorang mencintai kaumnya ? Jawab baginda :Tidak ! Tetapi asabiyyah itu seseorang menolong kaumnya atas kezaliman.”

Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong-menolong, bantu-membantu dan jamin menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebajikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. sabda Nabi S.A.W. :

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bagunan, kuat menguatkan antara satu sama lain.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan fakktor-faktor tertentu, mungkin salah satunya perkauman.

Disamping itu kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli digerai, kedai atau pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi bergantung kepada dunia barat. Ini adalah salah satu factor yang menjadikan dunia Islam dayus kepada Barat. Banyak bahan mentah yang dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mewujudkan kesatuan perdagangan dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia baratdalam tulisannya dengan mengatakan :

“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memeliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri, dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh dibuminya dan ditenun dengan tangannya… sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat – jika keadaan memerlukan demikian – selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain." (Abu Hasan ‘Ali an-Nadwi, Maza khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, ms. 416, cetakan : Maktab al-Sunnah, Kaherah)

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi pula : “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hudup di bumi Allah yang paling strategic, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak berani di bumi kita,tidak menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…. Jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar , pengimport bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai dalam menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, ms. 12-13, cetakan muasasah al-Risalah, Beirut.)

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. menghasilkan produk keluaran muslim adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.

Ini salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan taggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith : “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat menguatkan antara satu sama lain” di atas, menyebut : “Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu-membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin, jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa." (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin. 1/119, cetakan: Muasasah al-Risalah, Beirut)

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Di peringkat bawahan, umat Islam wajib terus berusaha mengeluarkan berbagai produk dan keperluan sehingga kita tidak bergantung kepada orang lain. lihat pada cuti perayaan orang lain di negara kita, orang Islam menjadi terdesak untuk membeli dan berurusan, ini menggambarkan betapa kita bergantung kepada orang lain. Bagaimanakah kita ingin menceritakan kehebatan Islam kepada mereka dalam membina umat ?

Pengajaran Semasa
1- Setiap individu muslim hanya ada dua pilihan di hadapannya, samaada dia menjadi pengeluar barangan atau pembeli barang keluaran saudara muslimnya yang lain. mereka yang tidak menyertai kempen ini, melupai bahawa diri mereka adalah satu juzuk daripada umat, juga melupai tanggungjawab ukhuwwah Islamiyyah. Ini kerana suasana umat Islam sekarang amat tertekan dan tertindas.

2- Negara-negara umat Islam mestilah berusaha mengeluarkan keluaran sendiri terutamanya senjata dan barangan yang menjadi keperluan semua. Barangan asas yang menentukan kekuatan negara mestilah dihasilkan sendiri oleh umat Islam.

3- Negara-negara umat Islam wajiblah menjadi kitaran dagangan antara mereka. ini supaya hasil dan harta umat tidak jatuh ke tangan musuh. Berdagang sesama negara adalah tuntutan yang mesti dipikul oleh bahu para pemerintah umat Islam masa kini. Hasil kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab maka lihat apa yang terjadi kepada kekayaan Arab yang dilabur dan dileburkan di Amerika dan dunia Barat.

4- Di peringkat individu, muslim hendaklah membantu perniagaan muslim sedaya mungkin. Ini bagi memastikan kita dapat membina kembali kekuatan masyarakat Islam. persaudaraan Islam membantah seorang muslim meninggalkan saudara muslim yang berniaga lalu membeli dari orang lain.

5- Membantu ekonomi muslim adalah ibadah.

6- Mewujudkan badan kebajikan atau seumpamanya demi membantu kebajikan sesama muslim juga adalah ibadah dan perkara yang dipuji dalam Islam.