Sunday, October 31, 2010

Sejarah Matawang dan Kaitan Dengan Hukum Forex

Dolar Zimbabwe.. Billionaire tuuu..

Hari ini kalau ada yang berazam untuk tidak mahu menggunakan wang kertas ,orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam hutan. Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh kehidupan manusia.

“ Apa itu wang kertas?” wacana tentang riba dan wang emas tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas kerana kedua-dua matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.

Sejarah mencatatkan bahawa antara wang yang paling awal muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada empayar Rom di Eropah, berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Wang emas terus digunakan oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang lain setelah keadatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masehi juga menggunakan wang emas.
Namun, penggunaannya berakhir pada 1924 berikut runtuhnya kerajaan Khilafah Islamiah terakhir iaitu Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu, dunia beralih kepada wang kertas yang bersandarkan emas.

Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffin dalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di pulau Jekyll pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat. Sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara curi-curi.


Monday, October 04, 2010

Riba Dalam Perbankan Islam (Part 2)

Salam,

Saya telah menjumpai artikel ini yang sangat sesuai untuk menjawab persoalan berkenaan video yang saya post semalam.

Diharap agar saudara semua dapat bersabar dan membaca hingga ke akhirnya.

Jazakallah.

........................................................................

Berikut adalah soalan-soalan berkaitan Riba Dalam Perbankan Islam untuk tatapan ustaz:-

CERMIN : APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN RIBA DALAM ISLAM?

Ust Zaharuddin (UZAR) :

 Mudahnya riba boleh dibahagikan kepada dua (2) iaitu :-

1) Riba Ad-Duyun ( Muncul dari Hutang) : Iaitu kadar lebihan faedah (Riba) yang terhasil disebabkan tempoh. Ia pula terbahagi kepada dua (2) jenis, iaitu :-

   a- Riba al-Qardh : Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan yang lebih dari jumlah pinjaman pokok yangmana ianya telah disyaratkan di awal kontrak pinjaman (loan contract), dikenakan oleh pemberi pinjam kepada peminjam. 

   b- Riba al-Jahiliyyah : Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih dari jumlah pinjaman pokok yang dikenakan akibat si peminjam gagal membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan pada tempoh yang telah dipersetujui. Akibatnya si pemberi pinjam akan mengenakan kadar denda ke atas si peminjam kerana minta tangguh pembyaran hutang atau gagal membayar hutang dalam waktu yang ditetapkan.