Friday, November 26, 2010

ASB Haram? Satu Perbincangan..

Cam haram!

Salam,

Walaupun isu ini sudah agak lapuk, namun begitu saya suka untuk membangkitkannya semula memandangkan ASB tetap menjadi kegemaran ramai kerana statusnya untuk Bumiputera (baca: Melayu). Juga kerana saya belum pernah mengulas berkenaan hal ini lagi.

Saya berharap agar semua pihak dapat berlapang dada kerana ini adalah satu perbincangan secara ilmiah. Anda boleh terima mana-mana pendapat yang anda rasa sesuai dengan citarasa tekak anda, kerana ia adalah ijtihad. Cuma kalau anda rasa was-was dengan salah satu pendapat, lebih baik tinggalkan. Pilihlah pendapat yang anda paling yakini.

“Diriwayatkan dari ‘Amr bin al-’Ash, bahwa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang hakim memutuskan perkara lalu ia melakukan ijtihad, kemudian ijtihadnya benar, maka ia memperoleh dua pahala (pahala ijtihad dan pahala kebenarannya). Jika hakim memutuskan suatu perkara lalu berijtihad dan hasilnya salah, maka baginya satu pahala (pahala ijtihadnya) (Musnad Ahmad bin Hanbal, 17148)

Fatwa Ulamak

Fatwa 1
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Anda boleh chek di sini.. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/pelaburan-dalam-asn-asb-dan-seumpamanya

Apakah hujahnya? Alhamdulillah, Sifu kita Ustaz Zaharuddin telah mengulas di dalam blog beliau seperti berikut:

Saya juga telah hubungi seorang S.S Mufti, beliau kata hujjah utama Majlis Fatwa adalah "MASLAHAT". Ini beerti majlis fatwa bukannya mengesahkan sistem dan cara pelaburan ASB dan ASN yang sedia ada tetapi ia diluluskan atas dasar 'Maslahat' atau kepentingan ramai (mungkin kerana terlalu ramai orang Islam yang telah terlibat dan fatwa mengharamkan akan mengakibatkan kekalutan yang tidak tergambar), hasilnya ia difatwakan harus. Apa lagi ingin dikatakan jika itu hujjahnya.
Antara ilmuwan terkemuka yang memberi ulasan kepada hujah di atas ialah Prof. Dr Mahmood Zuhdi dan beliau menyatakan beberapa point-point berikut:
  1. ASB penting untuk survival umat Islam di dalam negara tanah tumpah kita sendiri yang bimbang akan dikuasai oleh bangsa asing. Dengan adanya skim-skim seperti ASB akan dapat meningkatkan ekonomi umat Islam.
  2. ASB pada dasarnya adalah satu badan yang halal dan status halalnya itu tidak akan berubah sama sekali dengan tindakannya yang haram. Sama seperti seorang muslim yang masih mengakui dirinya Islam tetapi melakukan perkara-perkara maksiat yang jelas haram. Orang itu tetap kita anggap orang Islam. (Saya tak mahu ulas yang ini, kerana ini memerlukan maqam yang lebih tinggi. Hehe)
Pada dasarnya, ulasan yang pertama itu sudah cukup untuk menerangkan hujah maslahat tersebut. 

Fatwa 2
Fatwa Majlis Fatwa Selangor
Fatwa Majlis Fatwa Terengganu
(malangnya URL asal dari e-fatwa JAKIM telah tiada.. Tak tahu kenapa.. Mungkin bagi mereka sudah tidak relevan lagi)

Security Commission (SC) Syariah Advisory Council (SAC)



Kesimpulannya, kedua-dua badan fatwa di atas dan SAC SC tidak mengiktiraf ASB sebagai harus. Tak perlulah anda tanya siapa mereka tu? Ada janggut tak? Haha.. Cuma baca je hujah-hujah mereka yang berikut ni dan fikir sendiri:
  1. ASB mengandungi pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syarak
  2. ASB tidak diiktiraf oleh mana-mana Panel Penasihat Syariah samada dari ASB sendiri ataupun SC 
  3. ASB tidak mempunyai Panel Penasihat Syariah sendiri ataupun melantik Perunding Syariah ataupun merujuk kepada SAC SC
Hujah-hujah ini adalah jelas dan nyata dan bukti-buktinya adalah seperti berikut:
  1. Pecahan saham terbesar di dalam ASB adalah terhadap syarikat perbankan konvensional Maybank iaitu sebanyak 28% daripada keseluruhan tabung dana. 
  2. Pecahan-pecahan yang kecil lain merangkumi beberapa syarikat yang tidak diiktiraf patuh syariah oleh SC seperti syarikat rokok British American Tobacco (BAT), pelaburan konvensional PNB Structured Investment Fund.
  3. Sememangnya ASB tidak pernah melantik mana-mana pihak ataupun individu sebagai Penasihat Syariah
 Anda boleh rujuk maklumat tersebut di sini. ASB Annual Report 2009.

Ulasan

Ok. Bagi Fatwa 1, hujah utama yang disebutkan ialah maslahat @ kepentingan umum (baca: umat Islam). Menurut Prof. Mahmood Zuhdi adalah kerana survival umat Islam di dalam bidang ekonomi. Persoalan saya terhadap hujah ini ialah sejauh manakah kebenaran bahawa dengan adanya ASB umat Islam akan dapat meningkatkan ekonomi mereka?

Bagaimanakah dengan alternatif-alternatif lain yang ada? Sekiranya terdapat 2 cara untuk mencapai matlamat kita, mana satukah yang akan kita pilih? Cara A yang halal atau cara B yang haram. Walaupun mungkin cara B mempercepatkan kita mencapai matlamat, namun dalam Islam ia tetap perlu dielakkan. Konsep ini dinamakan matlamat tidak menghalalkan cara.

Sebenarnya, terdapat banyak alternatif lain dalam kita nak meningkatkan ekonomi umat Islam. Perkara yang paling penting ialah pendidikan berkaitan kewangan dan ekonomi bermula daripada kecil lagi. Beri kesedaran tentang kewangan dan kepentingan untuk menguasai ekonomi. Alternatif lain juga adalah dengan memperkasakan institusi kewangan Islam, dan sistem ekonomi Islam. Pastikan kekayaan tidak hanya berlegar di kalangan orang-orang tertentu sahaja. Pastikan semua orang yang mahu berniaga diberikan peluang dengan cara yang adil dan telus. Alternatif ini pastinya halal dan menjamin matlamat.



Mungkin ada yang akan mempersoalkan, di mana kita mahu simpan duit kita (baca: Bumiputera @ Melayu) yang banyak berbilion-bilion daripada orang-orang kampung dan orang-orang kelas sederhana dan bawahan ini? Dalam hal ini saya menyokong pendapat Ustaz Zaharuddin yang menyatakan hujah, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.

Sekadar menambah point Ustaz, kalau dalam negara ni kita tak cukup tempat nak sumbat dana sebesar itu, cariklah pula di negara lain. Gunakan fundamental analysis. Pasti ada syarikat-syarikat yang menjanjikan pulangan dividen yang lumayan setiap tahun. Yang penting status Patuh Syariah tu dipenuhi. Memang bidang financial adalah bidang yang paling menguntungkan. Tapi sedar tak kita bahawa sekarang Islamic Financial pun dah mula naik. Banyak bank2 yang terkenal di serata dunia dah mula menceburi bidang ni. Apa salahnya melabur dalam syarikat-syarikat berkaitan.



Ada yang akan kata exposure (pendedahan) kepada global @ dunia luar berisiko tinggi. Tapi yakinkah anda yang melabur dalam negara kita ni risiko rendah? Dengan indeks rasuah (CPI) kita yang masih di tangga ke-56. Nilai RM kita berbanding matawang lain. KDNK yang rendah berbanding negara serantau lain. Pendapatan per-capita yang rendah. FDI dan lain-lain penanda aras ekonomi yang mempersoalkan keyakinan kita terhadap negara tercinta ini. Aduh.. Makin melalut post saya ini.



Kembali kepada topik asal. Fatwa kedua sudah tidak perlu diterangkan lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Sememangnya ASB mengandungi saham-saham yang tidak patuh syariah. Bank konvensional yang mengamalkan riba'. Syarikat rokok antarabangsa. Huhu. Jika anda mahu syarikat ini menghasilkan rokok lebih banyak untuk meracuni paru-paru anda, isteri anda dan anak-anak anda, maka berilah mereka duit perahan keringat anda tu. Jangan salahkan sesiapa sekiranya ada antara anda yang terkena kanser akibat rokok!

Kesimpulan

Keputusan di tangan anda. Anda berhak memilih di antara dua pendapat di atas. Sekiranya anda yakin anda di pihak yang benar teruskanlah dengan keputusan tersebut. Cuma nasihat saya, bagi anda yang mampu baca blog saya ini (baca: celik IT) iaitu orang bijak-bijak, kita masih mampu mencari alternatif lain. (Lainlah kalau anda bukan orang bijak-bijak. Huhu) Saya yakin kita masih boleh belajar bagaimana cara terbaik yang lain untuk mengembangkan duit kita. Teruskan baca blog ini, InsyaAllah saya akan tunjukkan caranya..

Bagi saya, dalam hal ini tiada siapa yang bersalah. ASB tidak bersalah kerana ia memberikan jalan untuk kita mencapai matlamat iaitu bebas kewangan (masalahnya matlamat tak menghalalkan cara). Kita pun tidak bersalah kerana kita sekadar rakyat marhaen yang perlukan jalan penyelesaian terhadap simpanan kita (baca: matawang fiat @ toilet paper bergambar) yang dimakan inflasi saban tahun. So siapa yang bersalah sekarang? Bak kata Bang Bil yang penuh kontroversi.. Lu PK lah sendiri!!

Tepuk dada tanya iman!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment