Salam.
Ana nak share satu lagi penjelasan mengenai forex yang diperolehi dari seorang ulama yang juga tidak kurang hebatnya. Biasa dengar pendapat daripada UZAR. Kali ni kita ambil pandangan yang berbeza. Semoga bermanfaat.
Wassalam.
FOREX: Di Mana Haramnya?
Seminggu dua ini, dunia perniagaan dan pelaburan online di negara kita dikejutkan dengan satu kenyataan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa operasi Forex online yang dijalankan oleh individu melalui broker-broker dalam talian adalah tidak menepati Syarak dan difatwakan sebagai haram. Sehari selepas keluarnya kenyataan tersebut, saya cuba mengintai beberapa forum-forum di internet untuk melihat reaksi dan komen trader-trader Forex terhadap keputusan tersebut. Agak terkejut apabila mendapati perbincangan tentang isu ini di sebuah forum online mencecah 150 pages hanya dalam masa kurang 24 jam!!! Sedih dan kesal juga melihat komen sesetengah forumer Muslim menuturkan ucapan-ucapan seperti, “Kalau asyik fikir benda yang haram-haram sahaja, sampai bila nak tingkatkan pendapatan kita? Kalau kepakaran kita pada Forex, di situlah rezeki kita”.
Sebenarnya isu Forex online telah acapkali dibincangkan dan dijelaskan kedudukan hukumnya oleh mereka yang ahli dalam Syariah khasnya bidang Muamalat. Pada pertengahan tahun lepas, JAKIM telah menganjurkan satu muzakarah membincangkan isu Forex ini, di mana saya beserta beberapa penyelidik lain dari ISRA telah membentangkan satu kertas kerja berkenaan isu-isu Syariah dalam Forex. Antara resolusi yang dicapai dalam muzakarah ini ialah operasi Forex online yang dijalankan oleh individu melalui platfom elektronik mengandungi banyak unsur yang tidak menepati Syariah. Namun, impak daripada resolusi muzakarah tersebut tidaklah sekuat impak fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini. Apatah lagi kenyataan pengerusinya Tan Sri Prof Dr. Abdul Shukor tersebar luas di media-media tempatan dan antarabangsa.
Sebagai individu yang hadir dalam satu slot Muzakarah Fatwa Kebangsaan tersebut dan membentangkan kertas kerja Forex, saya ingin berkongsi tentang sudut manakah yang dikatakan bermasalah dalam operasi Forex ini. Kepada para trader Forex yang tidak berpuas hati dengan keputusan fatwa tersebut, bolehlah cuba menilai beberapa isu Syariah yang akan saya ringkaskan di sini dengan bahasa yang -In Sya Allah- mudah difahami.
1- ISU LEVERAGE
Forex online tidak dapat dipisahkan dari unsur leverage. Saya yakin tidak akan ada trader kecil-kecilan akan berforex di platfom Forex online jika broker tidak memberikan leverage. Secara mudahnya leverage ialah gandaan kewangan yang diberikan oleh broker supaya individu dapat berdagang Forex melebihi modal sebenar. Contohnya jika broker memberikan leverage 100:1, bererti dengan deposit sebanyak USD100, seorang trader dapat melakukan trading bernilai USD10,000!!! Dari sudut feqah, akad yang paling hampir dengan unsur leverage ialah akan Qard iaitu pinjaman kewangan. Iaitu broker memberi pinjaman kepada trader sejumlah wang untuk diniagakan.
Jadi apa masalahnya dengan leverage?
Apabila leverage adalah satu bentuk pinjaman, di sini terdapat unsur mensyaratkan akad jual beli dengan pinjaman. Atau dengan kata lain, broker memberi pinjaman kewangan dengan syarat trader hendaklah melakukan trading Forex dengan broker. Dalam isu leverage, broker bukan sahaja mensyaratkan melakukan trading dengan pinjaman tersebut, malahan akad pinjaman dan akad jual beli matawang berlaku secara sekaligus dengan menekan satu butang sahaja. Dua akad disekalikan dan tidak dipisahkan. Kerana pemberian leverage hanya akan terpapar di platfom apabila seseorang trader membuka satu-satu posisi.
Di dalam feqah, meletakkan syarat akad jual beli lain di dalam akad pinjaman adalah tidak dibenarkan. Ia dikenali dengan permasalahan ‘Bay wa salaf’ iaitu jual beli berserta dengan pinjaman. Pengharamannya disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama. Al-Qarafi menyebut, “Dan dengan ijmak umat bahawa diharuskan jual beli dan pinjaman secara berasingan, dan haram kedua-duanya secara bersekali, kerana ia adalah laluan riba”. (Al-Furuq, 3/266)
Di dalam konteks perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum larangan ini, kerana broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage kepada pedagang yang membuka posisi di platformnya sahaja.
2- ISU QABD (Possession)
Forex adalah pertukaran antara satu matawang dengan matawang yang lain. Dari sudut feqahnya ia adalah satu bentuk jual beli al-Sarf yang pada zaman dahulunya seumpama menukar emas dengan perak, atau menukar dinar dengan dirham. Syarak telah meletakkan syarat bahawa dalam jual beli al-Sarf hendaklah berlaku penyerahan dua item yang ditukar. Dalam konteks forex, mesti berlaku penyerahan antara dua matawang di dalam majlis akad, dengan mengambil kira bahawa penyerahan boleh berlaku secara hakiki (fizikal) dan juga hukmi (konstruktif). Contoh penyerahan fizikal ialah dengan menyerahkan matawang secara langsung kepada orang yang membelinya. Manakala contoh penyerahan hukmi ialah melalui pemindahan wang dari akaun ke akaun lain.
Berlakukah Qabd dalam Forex online?
Untuk menjawab persolaan ini kita perlu memahami bagaimana operasi forex dijalankan. Sesuatu perdagangan forex dijalankan dengan cara membuka posisi (open position) terhadap instrumen yang dipilih. Kemudian, diakhiri dengan menutup posisi (close position) terhadap instrumen tersebut. Sebagai contoh, anda mahu membuka posisi long terhadap instrumen EUR/USD, dengan maksud anda akan membeli matawang euro dengan membayar matawang dollar USD.
Di dalam Shariah, tuntutan qabd daripada transaksi ini ialah:
i) Anda hendaklah menyerahkan matawang USD kepada broker; dan
ii) Broker hendaklah menyerahkan matawang EUR kepada anda.
Dalam Forex online, berlakukah dua perkara tersebut? Jawapannya: Broker tidak akan mengkreditkan serta-merta matawang yang anda beli ke dalam akaun anda. Jadi, anda yang membuka posisi membeli instrumen EUR/USD tidak akan selama-lamanya dapat membuat qabd terhadap matawang EUR yang anda beli, kerana selagi posisi yang anda buka masih dalam status OPEN, anda tidak akan dapat menikmati segala keuntungan daripada kenaikan harga matawang yang anda beli dan tidak mungkin anda dapat membuat pengeluaran (withdrawal) wang tersebut, sehingga anda membuat CLOSE terhadap posisi tersebut, atau dengan kata lain anda menjual balik matawang yang anda beli tadi.
Sebagai contoh:
Anda membuka posisi long terhadap EUR/USD pada harga 1.4500 sebanyak 10,000 unit. Kemudian, anda menutup posisi tersebut pada harga 1.4550. Anda mendapat keuntungan sebanyak 50 pip.
Dalam contoh ini, apabila anda membuka posisi long, anda dikira membeli EUR10,000 dengan membayar USD14,500. Kemudian, anda menjual balik EUR10,000 dengan mendapat USD14,550. Anda untung USD50.
Maka di sini timbul isu ketiadaan qabd terhadap matawang yang dibeli oleh anda ketika membuka posisi long (membeli instrumen EUR/USD). Ini kerana selagi anda tidak menutup posisi pertama, anda tidak mungkin dapat menikmati apa-apa keuntungan sebenar daripada kenaikan harga EUR berbanding USD.
Jadi Qabd TIDAK BERLAKU kerana matawang yang dibeli ketika membuka posisi tidak akan dikreditkan ke dalam akaun pedagang, sehingga matawang tersebut dijual balik kepada broker ketika penutupan posisi.
3- ISU PENJUALAN MATAWANG YANG TIADA DALAM PEGANGAN
Sebagaimana disebutkan tadi, trading forex berlaku dengan ikatan antara dua transaksi iaitu open position dan close position terhadap instrumen yang dipilih. Jika ketika open position, trader membeli EUR dan menjual USD (Buy EUR/USD), maka ketika close position, dia akan menjual EUR dan membeli USD (sell EUR/USD).
Ketika close position, trader akan menjual balik EUR yang dibelinya. Di sinilah berlakunya isu Syariah. Kerana ketika trader membuat penutupan posisi (close position), dia akan menjual balik matawang yang dibelinya dari broker sedangkan dia belum lagi melakukan qabd terhadap matawang yang dibelinya.
Dalam satu hadis, Nabi S.A.W bersabda, “Tidak halal hutang dan jualbeli, (pengenaan) dua syarat dalam satu (transaksi) jualbeli, (mendapat) keuntungan (daripada) sesuatu yang tidak dijamin, dan jualbeli sesuatu yang engkau tidak miliki” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
Antara maksud ‘mengambil keuntungan daripada suatu yang tidak dijamin’ ialah mengambil keuntungan daripada jualan suatu yang tiada dalam pegangan.
Jadi, perdagangan forex secara online didapati tidak menepati tuntutan syarak kerana trader yang membuka sesuatu posisi akan menutupnya balik, atau dengan kata lain membeli sesuatu instrumen dan menjualnya balik sebelum berlakunya qabd terhadap matawang yang dibelinya. Ia termasuk dalam larangan hadis yang dikemukakan tadi.
ISU-ISU LAIN
Selain tiga isu di atas, terdapat beberapa lagi isu lain yang menjejaskan kesahihan transaksi Forex online. Antaranya kewujudan unsur rollover interest dalam sesetengan broker Forex, atau dikenali oleh trader-trader Forex sebagai swap. Iaitu apabila trader tidak menutup posisi melebihi 24 jam, sejumlah interest akan dikreditkan atau didebitkan ke akaun trader berdasarkan posisi yang dibuka, dan mengikut kadar faedah dua matawang yang terlibat dalam transaksi. Swap atau rollover interest yang dikenali dalam Bahasa Arab sebagai ‘Rusum al-Tabyit’ telah diputuskan oleh Majmak al-Fiqh al-Islami (Rabitah Alam Islami) sebagai riba yang nyata dan haram.
Begitu juga dengan isu spekulasi dalam Forex online, yang dilihat sebagai spekulasi yang melampau. Ya, ramai yang tidak bersetuju spekulasi dijadikan alasan haramnya Forex online. Kerana dalam mana-mana pelaburan pun, wujudnya unsur spekulasi. Yang dimaksudkan dengan spekulasi dalam konteks Forex online ialah spekulasi yang melampau dan menyamai perjudian. Kerana, dengan fungsi leverage, seseorang boleh hilang seluruh modalnya atau mendapat keuntungan berganda-ganda yang ada kalanya melebihi 100% dalam masa beberapa minit sahaja dengan pergerakan matawang yang kecil sahaja. Seolah-olah, trader mempertaruhkan depositnya, dan broker mempertaruhkan leverage yang diberikan kepada trader. Dalam posisi buy, jika pergerakan harga mengarah ke atas, maka trader akan untung berganda-ganda. Sebaliknya jika pergerakan harga menurun ke bawah, trader akan rugi dengan dahsyatnya yang boleh membawa kepada kerugian yang sepenuhnya.
Menurut Dominic Corelo, analisa empirikal menunjukkan bahawa 95 peratus individu yang berdagang spot forex mengalami kerugian yang total terhadap modal yang dilabur dalam beberapa bulan sahaja. (Dominic Corelo, “Successful Spot Forex Trading Requires Mentality of a Marathon Runner”, 26Februari 2011).
PENUTUP
Kepada trader-trader forex, operasi Forex online adalah satu bentuk perniagaan yang penuh dengan syubhah dan unsur yang meragukan. Resolusi dari Muzakarah JAKIM dan keputusan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya adalah satu tuah kepada kita kerana menyedarkan kita dari terus mengaut rezeki dari sumber yang tidak jelas.
Sekian
Abu Umair
25 Feb 2012
Dipetik dari website link http://abuumair1.wordpress.com/2012/02/25/forex-di-mana-haramnya/#more-2783
terima kasih atas pencerahan..
ReplyDeletebaru terbaca kat sini harini..ntah la..skrg ni da akhir zaman..mcm2 berlaku..
tp kadang2 sy juga musykil ngan keputusan2 yg dibuat mereka ini..tp siapa lah sy untuk bersuara..
sy juga musykil bagaimana pasaran saham yg penuh dengan spekulasi dan manipulasi dibenarkn..pasaran masa hadapan juga dibenarkan..sedangkn kite menjual sesuatu yg xwujud pon..
ntahla..dunia..dunia..
Forex Trendy is a revolutionary application capable of detecting the most PROFITABLE continuation chart patterns. It scans through all the forex pairs, on all time frames and analyzes every prospective breakout.
ReplyDeleteIt's always better to have a small percentage of a big success, than a hundred percent of nothing also forex signals services can help you gain good profits on your investments in the long run.
ReplyDelete