Isu Denmark dan Jihad Ekonomi
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Walaupun agak lama kita amat terluka melihat umat yang dipukul bertalu-talu. Namun apa yang berlaku kebelakangan ini, dapatlah menjadi sedikit pengubat bagi keperitan itu. Isu lukisan kartun yang menghina kekasih dan hati nurani umat ini iaitu baginda Nabi s.a.w telah membangkitkan kemarahan yang hebat. Ia bukan sekadar demonstrasi jalanan yang berakhir setelah letih menjerit dan habis kain bendera untuk dibakar. Bahkan ia disertai dengan tindakan pemulauan barangan Denmark yang benar-benar memberikan kesan ekonomi kepada negara terkutuk itu. Allahu Akbar!!! Umat ini masih hidup rupanya. Kali ini bukan sahaja rakyat bawahan, bahkan kerajaan dan pemerintah umat Islam juga sudah berani bersuara.
Kerajaan Arab Saudi menjadi bintang yang bercahaya apabila mereka menarik balik duta dan memulaukan barangan Denmark. Rakyat Arab Saudi dan negara-negara Teluk yang lain memulaukan dengan serius barangan Denmark. Barangan negara keji itu dikeluarkan sendiri oleh empunya-empunya pasaraya dari rak-rak jualan mereka. Persoalan untung rugi harta sudah bukan keutamaan lagi apabila kekasih tercinta RasululLah dihina. Kaum muslimin di kebanyakan negara Arab menyahut seruan tersebut, khusus negara-negara Teluk yang kaya-raya. Ternyata ia amat berkesan. Ekonomi syarikat-syarikat Denmark yang berdagang dengan negara-negara umat Islam merudum jatuh. Sehingga syarikat-syarikat gergasi lain yang bukan dari Denmark terpaksa membuat pengemuman terbuka bahawa mereka bukan berasal dari Denmark.
Terbukti, umat ini sangat kuat jika bersatu hati. Kalaulah hanya ‘tidak membeli’ sahaja umat Islam boleh menggugat ekonomi sesebuah negara. Bagaimana jadinya jika kita ini negara pengeluar dan kuasa ekonomi yang ‘tidak ingin menjual’. Tentu kesannya lebih daripada itu. Namun apabila kita bercerai-berai kita menjadi lemah. Kita lemah kerana ramai di kalangan kita yang tidak berprinsip lantas tidak merasai kita satu ini satu juzuk dari umat Islam. Manusia yang tidak berprinsip akan mengukur setiap tindakan dengan habuan dunia semata. Prinsip hidupnya ‘apapun utamakan perut sendiri dulu’. Malang sekali jika kita tidak sensitif dengan isu Denmark, sedangkan rakyat Palestin dan Afghanistan sekalipun sentiasa dihimpit tetap bangun meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada dunia apabila Rasul yang mulia telah dihina. Arab Saudi paling hebat dalam kes ini dari segi kesan tindakan pimpinan negara dan rakyat. Walaupun mereka tidak buat sambutan maulid saban tahun sehebat kita, tetapi kesetiaan mereka lebih jelas. Sekalipun kita berarak maulid hebat saban tahun, namun kita tetap corot dari segi penampilan sikap. Ramai orang kita yang ‘tidak ambil tahu apa yang berlaku’. Barang kali ini boleh membezakan antara kecintaan yang tulen, dan penampilan kecintaan yang tidak berpijak atas asas yang kukuh.
Jika kuasa ekonomi dan harta digunakan dengan cara yang betul, memang banyak maruah dan harga diri umat dapat dibela. Kuasa ekonomi sangat penting. Namun yang lebih penting ialah akidah yang tulen yang memastikan kesetiaan kepada ALLAH dan RasulNya lebih dari kecintaan kepada harta. Jika tidak, yang bercakap pada ‘jihad ekonomi’ pun, takut hendak boikot barangan Denmark. Padahal ini sebahagian dari jihad ekonomi.
Justeru, sekalipun harta dunia sangat mustahak untuk kita miliki dan kuasai dalam persaingan era ini, tetapi harta tersebut hendaklah bersifat harta yang membela agama. Bukan mengganggu kesetiaan seseorang kepada agama. Dengan itu ALLAH menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)” (Surah al-Taubah: 24)
Jelas, jika kita ingin memperkatakan perjuangan umat Islam di sudut ekonomi, kita mesti menyiapkan manusia berakidah murni terhadap ALLAH dan RasulNya. Hanya golongan ini yang akan jujur terhadap umat ini. Kaum yang wala`nya jelas kepada ALLAH, rasulNya dan masyarakat Islam. Firman ALLAH: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang. (Surah al-Maidah: 54-56)
Jika tidak, jadilah kita kumpulan manusia yang kaya raya dan dengan kekayaan itu kita makin meninggalkan agamanya. Kempen kepada “Jihad Ekonomi” mestilah bermula dari pengukuhan akidah para pejuangnya sebelum terjun ke medan yang sengit itu. Ini kerana, cabaran dan ujian harta lebih dahsyat daripada cabaran dan ujian senjata. Di medan jihad senjata lagikan ada yang terseleweng tujuannya kerana inginkan harta rampasan perang. Inikan pula mereka yang berjihad di medan ekonomi. Malangnya, kempen jihad ekonomi yang diperkatakan oleh sesetengah pihak, titik perjuangannya bermula dari ‘aku ingin kaya’. Tanpa dikaitkan dengan perjuangan umat dan kehidupan akhirat. Maka apabila dia kaya maka dia pun menderhakai ALLAH s.w.t. dengan hartanya.
Jika diandaikan kebanyakan umat Islam ini kaya, tetapi mereka tidak teguh akidahnya, Islam tetap akan lemah. Bahkan kekayaan itulah yang akan memusnahkan agama. Dengan kekayaan itu, berbagai projek munkar akan dihidupkan. Ini seperti sabda Nabi s.a.w: “Demi ALLAH bukan kefakiran yang aku takut menimpa kamu. Tetapi aku takut dibentangkan kepada kamu dunia seperti pernah dibentangkan kepada mereka yang sebelum kamu. Lalu kamu bersaingan mendapatkannya seperti mana mereka dahulunya bersaingan, lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti ia telah memusnahkan mereka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kelemahan akidah telah mengheret umat ini kepada segala macam kelemahan yang lain. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa Dunia Islam..kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan, pemikiran dan kebudayaan (Muhammad Qutb, Waqi'una al-Mu‘asir, m.s. 172, Saudi: Muassasah al-Madinah)
Akidah adalah tunjang kepada segala bentuk jihad. Jihad tidak lain hanya bertujuan untuk menjadikan kalimah ALLAH yang paling tinggi. Bukan untuk kepentingan diri. Malangnya, apabila asas ini tidak jelas, kempen mengkayakan orang Islam hanya sekadar untuk memenuhi tembolok masing-masing semata. Nama Islam dan jihad telah disalahgunakan. Dalam hadith Abu Musa r.a: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan bertanya: “Seorang lelaki berperang untuk (mendapat) harta rampasan perang, seorang lagi berperang agar dipuji, seorang yang lain berperang untuk mengangkat kedudukannya. Siapakah yang berada dalam jihad pada jalan ALLAH? Sabda baginda: “Sesiapa yang berperang agar kalimah ALLAH menjadi yang paling tinggi maka dia berada pada jalan ALLAH”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dunia hari ini sudah berubah dibandingkan dahulu. Bukan hanya kekuatan persenjataan yang menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara itu terhadap percaturan dunia. Bahkan ekonomi juga memainkan peranan penting dalam menentukan percaturan dunia. Firman Allah:(maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal: 60)
Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh-musuh umat. Kekuatan yang mesti disiapkan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda adalah salah satu daripadanya yang dapat dilihat oleh manusia di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu. Pada zaman sekarang dari segi persenjataan, senjata-senjata canggih yang wujud pula menduduki tempat tugasan menggerunkan musuh. Maka umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu, kekuatan ekonomi juga adalah senjata baru dalam membina kekuasaan di era moden. Kekuatan ekonomi mampu membawa kepada hasrat yang sama iaitu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi di zaman ini adalah satu tuntutan agama.
Namun seperti yang dijelaskan tadi, ia hendaklah berpaksikan akidah Islam yang tulen yang akan mewarnai segala tidakan kita. Kekuatan kita bergantung sepenuhnya dengan sejauh mana kita berpegang dengan Islam. Tanpa pertolongan ALLAH yang menurunkan Islam untuk manusia, mustahil kita dapat keluar dari kehinaan hidup dan kejatuhan maruah di pentas dunia hari ini. benarlah ucapan ‘Umar ibn Khattab:“Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah” (Riwayat ini sanadnya disahihkan oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Dhahabi. Lihat: Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut.)
Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh menggambar betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah. Sehingga al-Nadwi menyatakan: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya” (Al-Nadwi, Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, India: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi)
Daripada akidah yang tulen lahirnya rasa ukhuwwah sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi.
Sekiranya kesedaran akidah dan ukhuwwah islamiyyah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Ini saya katakan berdasarkan faktor-foktor berikut:
i. Kuasa Membeli Yang Tinggi
Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli yang tinggi. Lihat sahaja kuasa membeli ini apabila digunakan dalam isu Denmark. Ini kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dialirkan kepada membeli barangan yang dihasilkan oleh umat Islam sendiri, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa
ii. Sentimen Agama
Isu-isu seperti kebiadapan Barat, sikap anti-Islam mereka, pencerobohan ke atas negara umat Islam, mengenai makanan tidak halal dan seumpamanya telah menimbulkan keresahan kebanyakan umat Islam yang sensitif dengan penghinaan terhadap mereka. Umat Islam dipermainkan kerana mereka bergantung kepada orang lain dalam menghasilkan keperluan mereka. Dalam isu halal umpamanya, kesempatan ini boleh diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan. Maka kita menggesa mereka menggunakan produk muslim yang seakidah dengan mereka. Bahkan kita boleh mencadangkan agar bukan sahaja logo halal dikeluarkan, sebaliknya kita keluarkan logo yang melambang produk muslim-halal. Dengan itu wang umat kembali dialirkan ke tangan umat sendiri.
iii. Ketengangan Yang Wujud
Ketegangan yang wujud sekarang antara Blok Barat dan Umat Islam boleh membantu ke arah mewujudkan umat yang lebih memiliki jatidiri dan berdikari. Orang Islam khasnya arab rasa tidak lagi selamat berada di negara Barat. Mereka mula merubah arah ke negara-negara seperti Malaysia. Jika pelancong-peloncong Arab ramai yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga hanya ingin membeli produk saudara muslim mereka sahaja.
iv. Banyak Ruang Belum Diterokai
Walaupun agak banyak produk muslim yang diwujud di pasaran, namun secara perbandingan kita masih ketinggalan jauh. Jika kesedaran yang ingin kita pupuk itu berjaya, ruang menghasilkan berbagai produk terbuka luas peluangnya untuk setiap muslim. Sehingga hari ini kita belum memiliki satu pasaraya yang memasarkan hanya barangan keluaran muslim. Jika ini dapat dijayakan, hasrat ke arah pembinaan kekuatan ekonomi muslim tempatan dan antarabangsa bertambah mudah.
Dalam perkara ini saya sering memetik kata-kata Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. yang mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”.( Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, cetakan: Maktab al-Sunnah, Kaherah)
Dr. Yusuf al-Qaradawi mengeluh perkara yang sama dengan katanya: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita...jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)
Jihad Ekonomi hendaklah bertunjangkan akidah dan arahnya membina kekuatan umat atas acuan Islam yang tulen!!!.
No comments:
Post a Comment