Sunday, October 15, 2006

Usahawan Muslim : Ikut kata hati kunci kejayaan Ali Hassan

Oleh Zainab Mohd Yatim

Tauke Al-Ikhsan penyumbang zakat kedua terbesar di Johor

PENAMPILANNYA begitu ringkas dan tidak siapa menyangka beliau memiliki 32 rangkaian perniagaan runcit di seluruh negara, selepas memulakan perniagaan tidak sampai 12 tahun.

Siapa sangka anak muda berusia 36 tahun, berasal dari Skudai, Johor, ini kini adalah juga adalah penyumbang zakat kedua terbesar di Johor tahun lalu, selepas Tabung Haji.

Bukan anak orang kaya, malah pernah gagal mendapat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan, semata-mata kerana tidak dapat menyediakan cagaran.

Ali Hassan Mohd Hassan, Pengarah Urusan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, tidak memerlukan tali leher dan bilik berhawa dingin untuk mengemudi empayar perniagaan runcit barangan sukan berjenama terkemuka di negara ini.

Al-Ikhsan menjual peralatan sukan jenama terkenal luar negara, seperti Nike, Puma, Adidas, Diadora, Lotto dan Reebok, dengan tumpuan pada sukan bola sepak dan futsal, sukan yang begitu digemari remaja masa kini.

Kerap kali beliau turun padang untuk memastikan sendiri operasi setiap cawangannya yang kini telah bertapak hampir di setiap negeri di Semenanjung.

Falsafah perniagaannya mudah: ?Buat sesuatu dengan bersungguh dan selebihnya berserah kepada takdir. Tetapi setiap yang dibuat mesti disertai dengan niat yang betul, dan jangan sekali-kali tinggal sembahyang lima waktu kerana itu adalah tunjang hidup, serta bersedekah dan jangan abaikan kedua ibu-bapa.?

Mungkin mudah dilahir dengan kata-katanya, tetapi siapa yang tahu jika beliau hanya tidur dua hingga tiga jam sehari semata-mata untuk menguruskan perniagaan yang dikuasai bangsa asing.

Kekuatan dirinya adalah ibu, Siti Mariam Mahmud dan isteri, Marina Abu Bakar, yang dikahwini pada 1996, menyebabkan beliau tidak pernah memandang remeh bidang perniagaan yang diceburinya.

Juga sentiasa pasrah dengan ketentuan yang Maha Esa, katanya, beliau tidak pernah merancang apa yang hendak dilakukan setiap hari, tetapi setiap yang dilalui dibuat dengan kesungguhan yang tidak berbelah bagi.

Nama Al-Ikhsan itu juga tidak dirancang tetapi digunakan selepas beberapa nama lain yang dicadangkan ketika melakukan pendaftaran, ditolak kerana telah ada yang menggunakannya.

Pada awal perniagaan, beliau hanya menawarkan pakaian sukan jenama ?kelas ketiga? dan produk buatan tempatan bagi menarik jumlah jualan, dengan pelanggan daripada kalangan pelajar dan kelas bawahan serta pertengahan.

Selepas enam tahun beliau mampu menarik nafas lega apabila jenama Al-Ikhsan sudah diterima ramai, hingga memberi kekuatan kepada beliau untuk mengembangkan perniagaan ke Kuala Lumpur.

Kini, selepas kekukuhan jenama telah dibina, Al-Ikhsan sudah mampu membuat pilihan mengenai produk yang hendak ditawarkan kepada pelanggan. Inilah juga yang menyebabkan hanya jenama terkemuka saja dijual di kedai berkenaan.

Ali Hassan juga memberi jaminan, setiap barangan yang dijual di kedainya dijamin barangan jenama asli, sesuai dengan pendirian kuatnya terhadap agama Islam.

Mengulas mengenai kesungguhannya dalam membangunkan Al-Ikhsan, Ali Hassan berkata, banyak perkara yang dibuatnya mengikut kata hati, dan jarang mendengar kata orang kerana hanya diri sendiri yang faham kehendak sendiri dan yang akan berdepan sebarang halangan serta apa juga cabaran yang mendatang.

Namun, katanya, kata hati tidak diikuti membuta tuli, kerana setiap langkah yang mahu diambil, akan dibuat penganalisaan dan kajian dari segi keperluan dan pasaran.

?Berniaga dalam bidang runcit bukan dibuat dengan membuta tuli, tapi kena kaji pasaran dan fahami keperluan masyarakat,? katanya yang tidak menafikan kesukaran hidup masa kecil membuatkan beliau tabah untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

Sebagai anggota polis pada zaman British di Singapura, dengan anak seramai lapan orang, beliau faham betapa beratnya beban yang digalas bapanya untuk membesarkan beliau adik beradik seramai lapan orang.

Lulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu tidak meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi, walaupun menjadi pelajar terbaik dalam bidang yang diambilnya.

Memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM50 ketika belajar di universiti beliau berniaga kemeja-T secara kecil-kecilan dengan rakan dan kelab sekolej pada harga berpatutan.

Dengan wang itu jugalah beliau mengumpul modal untuk meneruskan perniagaannya yang bermula di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah pada 1993 sebelum membuka sebuah premis kecil di Holiday Plaza, Johor Baharu yang masih beroperasi hingga hari ini.

Secara berlawak, beliau berkata, minatnya pada perniagaan barangan sukan mungkin sebab hari lahirnya jatuh pada 9 Julai 1970 iaitu tarikh keramat bagi peminat bola yang menyaksikan Brazil memenangi Piala Dunia dengan tendangan emas pemain pujaan dunia, Pele, pada perlawanan Piala Dunia yang berlangsung di Mexico.

?Mungkin kebetulan, tetapi itulah tarikh keramat kelahiran saya, dan setiap empat tahun sekali, saya meraikan hari jadi pada detik kejayaan akhir Piala Dunia,? bekas pelajar Sekolah Sains Johor, di Tanjung Agas, Muar, itu.

Kini, selepas lebih 10 tahun membina empayar perniagaannya, masanya banyak dibahagikan kepada bayi lelakinya berusia tidak sampai setahun, hasil perkongsian hidup dengan isterinya.

Menyingkap keperitannya ketika mengembangkan perniagaannya, Ali Hassan berkata beliau pernah kecewa kerana gagal mendapatkan pinjaman bank.

?Saya begitu kecewa dengan pendekatan bank tempatan yang kononnya berazam membantu peniaga kecil, tetapi sebenarnya bantuan tidak pernah diberikan.

?Pendekatan itu sepatutnya diubah, dan pihak bank perlu proaktif dengan memperuntukkan masa untuk mengkaji bidang perniagaan yang berpotensi untuk naik, sebelum menolak mentah-mentah permohonan peminjam,? katanya.

Ketika memulakan perniagaan, Ali Hassan tidak pernah terfikir memiliki perniagaan sebesar sekarang, dan kini beliau menyedari perniagaannya memerlukan perancangan strategik untuk terus bersaing dengan peserta baru di pasaran, bukan seperti dulu yang hanya berserah.

Masih mencari ilmu agama untuk melengkapkan diri sebelum menutup mata, beliau berazam mewakafkan semua hartanya kepada sebuah yayasan yang ditubuhkan sendiri untuk kegunaan generasi di masa depan.

?Bila sudah sampai masa saya, saya tidak mahu pegang walaupun seringgit, dan yang ada bukan lagi milik saya, kerana harta itu akan ditanya di akhirat kelak, dan berat tanggungannya bagi seorang insan,? katanya yang berhasrat membuka 30 lagi cawangan Al-Ikhsan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lagi.

FAKTA Al-Ikhsan Sports

Bermula di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah pada 1993 sebelum membuka sebuah premis kecil di Holiday Plaza, Johor Bahru.

Menjual peralatan su kan jenama terkenal luar negara, seperti Nike, Puma, Adidas, Diadora, Lotto dan Reebok, dengan tumpuan pada sukan bola sepak dan futsal.

Nama Al-Ikhsan itu juga tidak dirancang tetapi digunakan selepas beberapa nama lain yang dicadangkan ketika melakukan pendaftaran.

Rancang 30 cawangan baru di seluruh negara dalam masa lima tahun akan datang.

2 comments:

  1. kagum dgn kegigigah profesional islam yg ikhlas membuat kerja kerana Allah.

    beramal bersugguh bukan untuk dunia/akhirat shj.

    ReplyDelete
  2. insyaAllah kita pun kena berusaha bersungguh2 macam dia jugak.. :) semua orang boleh.. antara nak dengan tak nak jer.. :)

    ReplyDelete