Wednesday, November 21, 2012

Muslim Kaya Futures Trader

Salam,

Jemput datang ke Blog Baharu saya.. Muslim Kaya Futures Trader di alamat muslimkayafuturestrader.blogspot.com.. Semoga bermanfaat buat semua.


Buat Duit Dengan FCPO!

Assalamualaikum wbt.

Aduh.. Boring sungguh asyik post pasal SCAM nih.. Nak buat macam mana.. Semakin hari semakin banyak Skim Cepat Kaya baru yang muncul.. Kalau tak diberi amaran dan kesedaran makin ramailah yang akan terjebak.. InsyaAllah saya akan teruskan perjuangan ini untuk memastikan orang kita tidak terjebak dalam skim-skim yang merosakkan ini..

Sebagai alternatifnya, saya ingin memperkenalkan anda kepada satu cara mudah untuk buat duit. Ini betul-betul punya dan sah di sisi undang-undang. Kalau betul caranya, pendapatan anda boleh jauh berganda-berganda melebihi pendapatan dalam Skim Cepat Kaya yang ada di pasaran.. Bayangkanlah, hanya dengan modal RM 3,000 sahaja, anda boleh mendapat sehingga RM500 atau lebih dalam satu hari secara konsisten setiap hari! Menarik bukan?

Spesifikasi Produk FCPO boleh dilihat di laman web Bursa Malaysia

FCPO adalah singkatan bagi Futures Crude Palm Oil iaitu Pasaran Hadapan Minyak Sawit Mentah. Instrumen pelaburan ini adalah termasuk dalam kategori Derivatives yang diniagakan secara sah di Bursa Malaysia. Barang dagangan yang diniagakan ialah Minyak Kelapa Sawit Mentah yang ada digunakan dalam pelbagai produk harian kita, daripada sabun mandi sehinggalah ke minyak masak.

Berbeza dengan urusniaga komoditi yang biasa, komoditi yang diniagakan di Pasaran Hadapan tidak dihantar kepada pembeli secara terus. Komoditi tersebut akan dihantar kepada pelanggan pada satu tarikh di masa hadapan misalnya dalam tempoh sebulan, dua bulan atau tiga bulan akan datang daripada tarikh pembelian. Urusniaga sebegini adalah diharuskan syarak bagi barang-barang selain emas dan perak yang tidak boleh bertangguh. Urusniaga ini dipanggil forward contract dan biasa kita gunakan dalam banyak hal. Antara tujuan kita menggunakan kontrak ini ialah untuk memastikan kita mendapat barangan tersebut pada harga yang kita kehendaki pada hari ini.

Namun begitu terdapat sedikit perbezaan antara futures contract dengan forward contract. Perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

  • Barang dagangan yang diurusniagakan telah ditentukan spesifikasinya dari segi kuantiti dan kualitinya
  • Urusniaga hanya boleh dilakukan melalui Exchange atau Bursa
  • Perlu meletakkan pembayaran awal ataupun deposit untuk melakukan urusniaga. Duit yang perlu disediakan ini dipanggil initial margin
  • Pembayaran penuh hanya akan dilakukan apabila tempoh kontrak telah matang dan sebelum produk fizikal dihantar kepada pembeli

Bagi satu kontrak FCPO barang dagangan yang diniagakan ialah 25 tan metrik minyak sawit mentah. Initial margin ialah sebanyak RM7,000. Jadi bagaimana kita nak buat untung daripada FCPO ini?

Caranya ialah dengan melakukan urusniaga Open dan Close sebelum tempoh kontrak matang. Contohnya dengan Beli pada harga rendah dan Jual pada harga tinggi (Buy Long). Dan yang menariknya, kita boleh Jual dulu pada harga tinggi dan Beli semula pada harga rendah (Short Sell). Jadi tak kira apa jua keadaan market, kita boleh buat untung! Dengan syarat analisis kita betul dan urusniaga kita betul seperti yg kita analisis.

Namun begitu sekiranya kita telah Beli 1 kontrak (1 lot) FCPO dan simpan sehingga tarikh matang, maka kita terpaksa membayar harga penuh (harga 1 kontrak x 25 tan) dan menerima produk fizikal. Atau sekiranya kita tidak mampu maka kita akan dipaksa untuk jual semula kontrak tersebut dan menanggung kerugian atau menerima keuntungan. Jadi untuk mengelakkan hal ini berlaku, biasanya kita akan berurusniaga bagi kontrak FCPO bulan ketiga yang masih lambat lagi tempoh matangnya.

Kontrak FCPO yang diniagakan di Bursa Malaysia

Berapa kali kita boleh berurusniaga? Terpulang pada anda.. Anda boleh berurusniaga beberapa banyak kali dalam sehari, atau berurusniaga sekali sehari atau seminggu, atau berurusniaga sebulan sekali atau beli dan simpan sahaja. Sekiranya anda hanya ingin melabur dalam sehari (intraday) margin yang diperlukan hanya RM3,000 untuk 1 lot. Tapi jika anda ingin simpan dua tiga hari atau lebih, maka marginnya ialah RM7,000 untuk 1 lot.

Berapakah keuntungan yang boleh kita perolehi? Sebenarnya jika kena caranya, kita boleh mendapat keuntungan berganda-ganda. Ini kerana sekiranya untung RM1 (1 point) harga kontrak FCPO, setiap tan metrik minyak sawit mentah di dalam kontrak tersebut akan untung RM1. Ini bermakna untung 1 point harga kontrak, kita akan mendapat untung RM25. Inilah yang dipanggil Leverage. Dan harga kontrak FCPO boleh berubah-ubah dalam range 20 point dalam masa satu hari. Jika untung nasib dan ada trend, harga boleh cecah sampai 40 point. Bayangkan jika betul analisis kita dan kita masuk tepat pada masanya, sehari kita boleh dapat rm500 - rm1000 untuk 1 lot sahaja.

Contoh trade. Short 20 point dan Long 20 point. Total 40 point (RM1000) untung dalam masa sejam lebih sahaja! 

Namun begitu, apa-apa pun pelaburan yang hendak kita ceburi perkara pertama yang perlu kita invest ialah ILMU. Kerana dalam medan FCPO ini ramai yang berjaya buat duit, dan ramai juga yang telah kecundang. FCPO diakui oleh otai-otai futures antara market yang paling volatile di dunia selepas Minyak Mentah dan Emas. Oleh itu ilmu memang wajib ada. Ilmu yang paling penting adalah Technical Analysis, Psychology of Trading (cara kawal emosi) dan Money Management. 3 bidang ini perlu kita kuasai untuk menjadi seorang Trader FCPO yang berjaya. Kalau anda malas nak belajar rajin-rajin 3 subjek ini, maka FCPO bukanlah perniagaan yang sesuai untuk anda. Lebih baik anda terus makan gaji, kerja part time atau berniaga secara kecil-kecilan. Ia lebih selamat daripada menanggung risiko kerugian yang besar, kerana kalau untung 1 point RM25, rugi 1 point pun RM25 juga.

Akhir kata, bolehlah difikirkan alternatif urusniaga FCPO ini yang jauh lebih baik berbanding Skim Cepat Kaya. Kalau rugi pun puas hati sebab kita tahu sebab apa kita rugi dan kita boleh control kerugian kita. Wassalam.

Tuesday, November 20, 2012

MyRightAd.com Kemungkinan Besar SCAM!!

Assalamualaikum wbt.

Tak serik-serik puak-puak nih. Mudah sangat terpedaya dengan Skim Cepat Kaya.

Laman Web MyRightAd


Habis je tamat riwayat WorldShoppersLink, muncul pula satu lagi laman web yang baharu iaitu MyRightAd.com. Kelihatan modus operandinya hampir sama dengan WSL. Masukkan duit untuk beli pakej pengiklanan dan anda akan dapat duit secara mingguan berdasarkan pakej yang anda beli dengan cara klik iklan. Pakej paling rendah berharga $100 dan mingguan anda akan dapat $6. Jika anda beli pakej yang paling mahal iaitu $2000 anda akan dapat mingguan $200. Dalam masa 10 minggu sahaja anda akan balik modal! Wah! Menariknyaaaaa!

Tapi tunggu dulu.. Jangan laburkan duit anda terlebih dahulu, kerana terdapat beberapa perkara yang meragukan dan kemungkinan besar MyRightAd.com adalah SCAM!!


Majoriti pelawatnya ialah Malaysia!

  1. Bisnes yang begitu global dan gempak seperti ini tapi tiada alamat dan no. telefon di laman web mereka? Macam mana saya nak call dan semak akaun saya jika saya tiada talian internet? Macam mana saya nak dapatkan balik duit saya kalau saya tak dapat akses laman web MyRightAd.com? 
  2. Syarikat bisnes online semestinya memerlukan traffic yang tinggi untuk memastikan bisnesnya berjaya. Traffic yang tinggi boleh diterjemahkan melalui Google Page Rank dan Alexa.com. Walaupun di Alexa.com ranking yang diperolehi oleh MyRightAd.com adalah agak tinggi, tapi Google Page Rank bagi website ini adalah 0/10. Ini adalah satu perkara yang boleh dipertikaikan bagi sebuah syarikat pengiklanan!
  3. Jika saya adalah sebuah syarikat besar yang ingin mengiklankan produk saya, saya akan memilih website-website yang mempunyai traffic yang sangat tinggi setiap hari kerana kandungannya yang menarik bagi memastikan keberkesanan iklan saya. Contohnya Facebook, Google dan Youtube yang mempunyai traffic yang sangat tinggi dan saya boleh mensasarkan produk saya kepada orang yang tepat melalui kecenderungan mereka terhadap perkara yang mereka minati. Kenapa saya ingin mengiklankan produk saya di dalam laman web pengiklanan yang tidak ramai pelawat kerana kandungannya hanyalah iklan sahaja dan tidak menarik langsung? Siapa yang nak tengok iklan-iklan tersebut melainkan hanya para pengiklan sahaja? 
  4. Jika saya adalah sebuah syarikat pengiklanan, saya sepatutnya menerima bayaran daripada client saya iaitu syarikat yang hendak mengiklankan produknya di dalam website saya. Kenapa pula saya nak terima bayaran daripada para pengunjung website saya yang nak melihat iklan-iklan yang dipaparkan? Suratkhabar MalayMail dan TheSun di Malaysia boleh memberikan suratkhabarnya secara percuma kerana menerima bayaran daripada syarikat yang mengiklankan produknya. Begitu juga siaran TV3, NTV7 dll. yang tidak menyuruh kita membayar apa-apa untuk menonton siaran. Semua pendapatannya hasil daripada menjual slot-slot iklan kepada syarikat yang hendak mengiklankan produk. 
  5. Jika saya adalah sebuah syarikat pengiklanan, saya sepatutnya membuka paparan iklan-iklan tersebut kepada seramai mungkin pengunjung website saya bagi memastikan keberkesanan iklan. Kenapa bila pengunjung yang belum berdaftar melawat website ini tiada iklan yang ditayangkan dan hanya mereka yang berdaftar sahaja boleh masuk dan lihat iklan-iklan tersebut? Bukankah ini menghadkan kuasa keberkesanan pengiklanan tersebut? 
  6. Dan akhir sekali hujah yang sama seperti WSL, kadar bayaran bagi setiap klik yang sangat tinggi adalah satu perkara yang mencurigakan. Sudahlah keberkesanan iklan dipertikaikan, traffic rendah, macam mana kadar bayaran bagi setiap klik pula boleh mengatasi Google Adsense dan Facebook Ads? 
Kalau kita bongkar lagi, pasti kita akan temui banyak lagi kesangsian dan kecurigaan dalam website tersebut.  Tapi cukuplah setakat ini untuk kita sama-sama berfikir dan hindari segala bentuk Skim Cepat Kaya. Ingat, walaupun kita mungkin mendapat keuntungan daripada skim seperti ini, tapi hukumnya adalah HARAM disebabkan ia adalah skim cepat kaya yang tidak mempunyai urusniaga yang jelas dan meragukan. Biarlah kita beroleh kekayaan dengan cara yang lambat dan bertahun-tahun tapi berkat. Wallahualam. 





Friday, October 19, 2012

WorldShoppersLink (WSL) Kemungkinan Besar SCAM!

Salam

www.worldshopperslink.com

Ada yang bertanya saya, adakah WorldShoppersLink satu bentuk SCAM? WorldShoppersLink (WSL) mempunyai kebarangkalian yang tinggi adalah sebuah SCAM. Antara hujah saya ialah, 

  1. Syarikat bisnes internet memerlukan volume traffic yang tinggi untuk memastikan bisnesnya berjaya. Traffic yang tinggi akan menjana keuntungan daripada pengiklanan yang tinggi. Traffic yang tinggi boleh diterjemah daripada Google Page Rank atau Alexa. Namun ternyata PageRank WSL hanya 0/10 yang mana blog saya lebih baik iaitu 1/10. Manakala Alexa pula menunjukkan WSL yg sepatutnya bisnes global mempunyai ranking ke 224 di Malaysia which is not bad, tapi rank yang ke 200,000 di India dan ke 400,000 di US. Bandingkan dengan Zalora.com.my yang merupakan website online shopping market Malaysia tapi ranking di India 100,000 dan US 200,000. Belum lagi dibandingkan dengan Amazon.com dan Ebay.com. 
  2. Kedua, kadar bayaran bagi satu klik per iklan bagi WSL adalah sangat tinggi berbanding Google Adsense dan Facebook Ads yang dikunjungi berjuta-juta pelawat sehari tetapi kadar iklannya sangat murah iaitu hanya beberapa cents per click. Manakala kadar bayaran bagi WSL pula mencecah 10$ untuk satu klik iklan. Tak masuk akal bukan?
  3. Ketiga, orang memasuki WSL bukan untuk membeli tapi hanya untuk buat duit. Lebih baik beli di Amazon.com, Ebay.com, Alibaba.com yang lebih murah dan kredibiliti tinggi. Jadi diyakini bahawa duit untung yang diberikan kepada peserta ialah hasil bayaran daripada peserta baru. 
Diharap anda dapat berhati-hati daripada menyertai skim seperti ini. 

Wallahualam.

VGMC Kemungkinan Besar SCAM!

Salam,

Berikut adalah beberapa hujah baru saya mengenai VGMC.

VGMC mempunyai kebarangkalian yang tinggi adalah sebuah SCAM. Antara hujah saya ialah, 


  1. Biasanya IPO sesebuah syarikat tidak memerlukan masa yang lama sehingga bertahun-tahun untuk disenaraikan. Paling lama pun hanya setahun. Ini kerana rugilah dia jika tunggu lama-lama, kerana pasti ramai pelabur di luar sana yang tak sabar nak beli saham IPO. Bila ramai pembeli saham IPO maka syarikat akan ada dana yang sangat besar untuk mengembangkan syarikat. Lagi lama tunggu, lagi rugi. Satu lagi, jika betul hendak disenaraikan ia sepatutnya telah diwarwarkan di Stock Exchange yang berkaitan. 
  2. Kedua, dividen yang terlampau tinggi yang diberikan oleh VGMC adalah satu perkara yang tidak logik. Syarikat yang paling untung di dunia pun hanya bagi dividen sekitar 10% - 15% sahaja SETAHUN! Itu pun dah dianggap sangat tinggi dan jarang berlaku. Biasanya keuntungan saham yang banyak ialah pada kenaikan harganya bukan pada dividennya. 
  3. Ketiga, VGMC sudah mula menunjukkan tanda-tanda kejatuhan kerana gagal membayar dividen. Kalau modus operandinya ialah dengan menggunakan duit peserta baru untuk membayar dividen peserta lama, maka syarikat akan gagal sekiranya peserta baru semakin kurang. So akibatnya syarikat akan gulung tikar. 
Diharap kita dapat buka mata dan sedar sebelum terlambat. Jauhkan diri daripada VGMC kerana dibimbangi ia adalah SCAM yang akan jatuh tak lama lagi. 

Wallahualam.

Friday, August 31, 2012

OSK Investment Challenge (Campus Edition) 2012

Salam,

Mahu RM 22,000 dan kamera Lumix yang terkini? Jom sertai pertandingan OSK Investment Challenge (Campus Edition) 2012 anjuran OSK Investment Bank.

OSK Investment Challenge Website

Sebelum pergi lebih lanjut, syarat utamanya ialah masih student tak kiralah degree ke, master ke, PhD ke janji anda adalah student Universiti atau Kolej. Maklumat lanjut boleh rujuk Terms & Condition pertandingan tersebut di sini. Untuk Lecturer pun ada juga, tapi kategorinya lain dan hadiah maksimum pun RM 6,000 sahaja.

Setiap peserta akan diberikan RM 100,000 wang maya untuk dilaburkan. Tempoh pertandingan ialah hanya 1 bulan bermula dari 2 Oktober 2012 sehingga 31 Oktober 2012. Objektif pertandingan pula ialah untuk mendapatkan Absolute Total Portfolio Value yang tertinggi iaitu jumlah keseluruhan portfolio termasuk dengan tunai di tangan. Total Portfolio Value = Market Value + Cash at hand.

Berdasarkan tempoh yang diberi dan objektif tersebut, nampaknya analisis yang paling sesuai untuk digunakan adalah Technical Analysis dan secara trading (jual beli) bukan secara buy and hold (beli dan pegang). InsyaAllah dengan sistem trading yang betul, money management dan risk management, anda mungkin berjaya. Pilihan saham mestilah yang aktif dan volume tinggi sebab masa yang diberikan adalah singkat. Gunakan Charting Tool dan indikator-indikator teknikal yang sesuai untuk melakukan analisis. Untuk yang percuma anda boleh download di sini.

Contoh Penggunaan Chartnexus.


Kepada yang masih student, jangan lepaskan peluang ini. Walaupun tidak menang, pasti ada sesuatu yang akan dapat anda pelajari berkaitan dengan pelaburan.

Sekian, wassalam.

Friday, August 17, 2012

Analisis Saham: Telekom Malaysia (TM)

Salam,

Berikut adalah saham yang menarik kebelakangan ini.


Saham TM terus melonjak naik.. Sangat cantik kalau nak masuk atas sebab-sebab berikut:


  • Overall trend tengah menaik, so boleh keep on riding with trend.. Ingat, "trend is your friend"
  • RSI menunjukkan trend short term sedang menaik dan dalam posisi selamat iaitu 50%
  • Stochastic biru juga sedang mengatasi merah dan masih dalam posisi selamat iaitu around 60%
  • MACD Biru sedang dalam posisi untuk balas balik ke atas mengatasi yang merah
  • Begitu juga dengan Ichimoku Kinko Hyo yang menunjukkan tanda-tanda market tengah bull run. 

*Penafian / Disclaimer : Informasi ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja. Pelaburan yang dicadangkan mungkin tidak sesuai untuk semua pelabur. Semua risiko adalah di atas tanggungan anda sendiri. Sila rujuk kepada penasihat pelaburan anda sebelum membuat apa-apa tindakan. 

Monday, August 06, 2012

Zakat KWSP dan Hukum Dividen KWSP

Salam,

Setelah saya post berkaitan dengan perkara-perkara yang boleh dibuat dengan duit KWSP, baru saya perasan yang tiada lagi penjelasan dibuat mengenai apakah tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebelum kita berbelanja dan melabur menggunakan duit tersebut.

Tanggungjawab tersebut ialah berkaitan dengan zakat dan pembersihan dividen KWSP. Kedua-dua ini adalah tanggungjawab agama yang sangat penting dan tidak boleh kita abaikan. Jika tidak terimalah akibatnya di akhirat nanti kerana melanggar hukum Allah swt.

Zakat KWSP

Seperti yang kita sedia maklum, majoriti daripada institusi kewangan tidak menunaikan zakat bagi pihak pendeposit terhadap simpanan yang dilakukan oleh pendeposit tersebut. KWSP tergolong di dalam kelompok tersebut. Oleh itu menjadi tanggungjawab pendeposit untuk menunaikan zakat simpanannya sendiri.

Wednesday, August 01, 2012

Skim Cepat Kaya Lagi..

Salam,

Keratan akhbar Utusan semalam.



Pastikan anda tidak terlibat sama. Jangan percaya pada skim-skim yang kelihatan terlampau bagus. Seolah-olah terlampau mudah nak buat duit.

Jangan dah terhantuk baru tergadah. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

Fikir-fikirkan..

5 Perkara Yang Anda Boleh Buat Dengan Duit KWSP

Salam,



Tahniah diucapkan kepada penjawat-penjawat awam baru yang sudah sah dalam perkhidmatan (baca: confirmed). Apabila sudah confirmed, maknanya ada anda juga sudah layak untuk mendapat Pemberian Taraf Berpencen (PTB). Mungkin inilah antara sebab ramai orang memilih untuk berkhidmat dengan kerajaan. Pencen boleh dianggap sebagai satu jaminan yang selamat untuk beroleh pendapatan apabila sudah bersara kelak. Keistimewaan ini tidak dapat dikecapi oleh pekerja-pekerja swasta walaupun gaji mereka jauh lebih tinggi.

Apabila sudah dapat surat PTB, anda kini sudah layak untuk mengeluarkan wang KWSP anda. Namun begitu tidak semua wang tersebut anda akan dapat. Wang yang dicarum oleh Kerajaan (caruman majikan) selama tempoh anda bekerja sebelum confirmed, akan dipulangkan semula kepada Kerajaan. Tapi dah tolak pun, still banyak juga kan? Campur dengan masa kerja swasta dulu, masyuk jugak lah.. Hehe.. So apakah pilihan yang kita ada untuk menjaga duit ini? Berikut saya senaraikan 5 perkara yang boleh anda fikir-fikirkan.

Wednesday, July 25, 2012

Penangan Skim Cepat Kaya

Salam,

Huhu.. Menarik cerita ni.. Cerita pasal reaksi orang-orang yang melabur dalam skim cepat kaya bila dapat tahu skim tersebut dah melingkup. Mungkin kita sendiri ada pengalaman macam ni. Apa-apa pun yang dah lepas tu lepas lah.. Yang buruk kita jadikan sempadan. Semoga kita tidak lagi terpengaruh dengan skim cepat kaya macam ni selepas ini..



Friday, July 20, 2012

Punca Utama Great Depression

Salam,


Sejarah mungkin berulang lagi dan lagi jika sistem ekonomi sedia ada masih kita teruskan. Kita sepatutnya sudah mula berhijrah kepada sistem ekonomi yang baru. Kerana ternyata sistem ekonomi yang sedia ada berdasarkan apa yang telah dilaksanakan di Amerika tidak dapat mewujudkan satu pasaran yang adil dan kualiti hidup yang sejahtera. Malah kita semakin jauh daripada menuju ke arah itu. 


Kenapa kita perlu tiru Amerika yang jelas telah merosakkan sistem ekonomi dunia? Kenapa kita tidak bangkit dengan sistem ekonomi baru yang lebih mapan, adil dan menjamin kesejahteraan. Pakar-pakar ekonomi dunia telah lama membincangkan hal ini dan menyeru ke arah perubahan. Namun ia telah dihalang oleh golongan tertentu (baca: Yahudi Zionis) yang mahu mengaut keuntungan berganda daripada kekacauan ini


Ayuh wahai negara-negara Islam dan rakyatnya. Bangkit dan bersatulah. Allah telah kurniakan sumber alam yang hebat di negara-negara kita. Orang beriman sepatutnya menjadi Khalifah di muka bumi. Sepatutnya kita yang mentadbir ekonomi dunia. Bukan menjadi pak turut kepada sistem ekonomi ciptaan manusia yang jelas membawa kita menuju kehancuran. Sampai bila harus kita biarkan orang kafir mentadbir alam dengan cara yang salah? Jom kita timba ilmu ekonomi dan mulakan jihad!





Sunday, July 15, 2012

Hukum Pelaburan Emas Genneva


Salam,

Berikut adalah penjelasan daripada Majlis Fatwa kebangsaan mengenai hal tersebut. 

Diharap kita dapat menerimanya dengan akur. Sesungguhnya redha Allah itu adalah lebih utama dalam kita menjalani hidup ini.

Wassalam. 


Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd.


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
    
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh syarak. Sesuatu transaksi jualbeli adalah dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli. Muzakarah turut menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.
     
  2. Berdasarkan laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd., Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada 13 hingga 15 Oktober 2011.
     
  3. Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak sama ada syarikat atau individu di dalam atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip jual-beli emas seperti yang digariskan oleh syarak atau undang-undang negara.
     

Friday, July 13, 2012

FOREX: Di Mana Haramnya?


Salam.
Ana nak share satu lagi penjelasan mengenai forex yang diperolehi dari seorang ulama yang juga tidak kurang hebatnya. Biasa dengar pendapat daripada UZAR. Kali ni kita ambil pandangan yang berbeza. Semoga bermanfaat. 
Wassalam. 

FOREX: Di Mana Haramnya?



Seminggu dua ini, dunia perniagaan dan pelaburan online di negara kita dikejutkan dengan satu kenyataan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa operasi Forex online yang dijalankan oleh individu melalui broker-broker dalam talian adalah tidak menepati Syarak dan difatwakan sebagai haram. Sehari selepas keluarnya kenyataan tersebut, saya cuba mengintai beberapa forum-forum di internet untuk melihat reaksi dan komen trader-trader Forex terhadap keputusan tersebut. Agak terkejut apabila mendapati perbincangan tentang isu ini di sebuah forum online mencecah 150 pages hanya dalam masa kurang 24 jam!!! Sedih dan kesal juga melihat komen sesetengah forumer Muslim menuturkan ucapan-ucapan seperti, “Kalau asyik fikir benda yang haram-haram sahaja, sampai bila nak tingkatkan pendapatan kita? Kalau kepakaran kita pada Forex, di situlah rezeki kita”.
Sebenarnya isu Forex online telah acapkali dibincangkan dan dijelaskan kedudukan hukumnya oleh mereka yang ahli dalam Syariah khasnya bidang Muamalat. Pada pertengahan tahun lepas, JAKIM telah menganjurkan satu muzakarah membincangkan isu Forex ini, di mana saya beserta beberapa penyelidik lain dari ISRA telah membentangkan satu kertas kerja berkenaan isu-isu Syariah dalam Forex. Antara resolusi yang dicapai dalam muzakarah ini ialah operasi Forex online yang dijalankan oleh individu melalui platfom elektronik mengandungi banyak unsur yang tidak menepati Syariah. Namun, impak daripada resolusi muzakarah tersebut tidaklah sekuat impak fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini. Apatah lagi kenyataan pengerusinya Tan Sri Prof Dr. Abdul Shukor tersebar luas di media-media tempatan dan antarabangsa.
Sebagai individu yang hadir dalam satu slot Muzakarah Fatwa Kebangsaan tersebut dan membentangkan kertas kerja Forex, saya ingin berkongsi tentang sudut manakah yang dikatakan bermasalah dalam operasi Forex ini. Kepada para trader Forex yang tidak berpuas hati dengan keputusan fatwa tersebut, bolehlah cuba menilai beberapa isu Syariah yang akan saya ringkaskan di sini dengan bahasa yang -In Sya Allah- mudah difahami.
1- ISU LEVERAGE
Forex online tidak dapat dipisahkan dari unsur leverage. Saya yakin tidak akan ada trader kecil-kecilan akan berforex di platfom Forex online jika broker tidak memberikan leverage. Secara mudahnya leverage ialah gandaan kewangan yang diberikan oleh broker supaya individu dapat berdagang Forex melebihi modal sebenar. Contohnya jika broker memberikan leverage 100:1, bererti dengan deposit sebanyak USD100, seorang trader dapat melakukan trading bernilai USD10,000!!! Dari sudut feqah, akad yang paling hampir dengan unsur leverage ialah akan Qard iaitu pinjaman kewangan. Iaitu broker memberi pinjaman kepada trader sejumlah wang untuk diniagakan.
Jadi apa masalahnya dengan leverage?
Apabila leverage adalah satu bentuk pinjaman, di sini terdapat unsur mensyaratkan akad jual beli dengan pinjaman. Atau dengan kata lain, broker memberi pinjaman kewangan dengan syarat trader hendaklah melakukan trading Forex dengan broker. Dalam isu leverage,  broker bukan sahaja mensyaratkan melakukan trading dengan pinjaman tersebut, malahan akad pinjaman dan akad jual beli matawang berlaku secara sekaligus dengan menekan satu butang sahaja. Dua akad disekalikan dan tidak dipisahkan. Kerana pemberian leverage hanya akan terpapar di platfom apabila seseorang trader membuka satu-satu posisi.
Di dalam feqah, meletakkan syarat akad jual beli lain di dalam akad pinjaman adalah tidak dibenarkan. Ia dikenali dengan permasalahan ‘Bay wa salaf’  iaitu jual beli berserta dengan pinjaman.  Pengharamannya disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama. Al-Qarafi menyebut, “Dan dengan ijmak umat bahawa diharuskan jual beli dan pinjaman secara berasingan, dan haram kedua-duanya secara bersekali, kerana ia adalah laluan riba”. (Al-Furuq, 3/266)
Di dalam konteks perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum larangan ini, kerana broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage kepada pedagang yang membuka posisi di platformnya sahaja.
2- ISU QABD (Possession)
Forex adalah pertukaran antara satu matawang dengan matawang yang lain. Dari sudut feqahnya ia adalah satu bentuk jual beli al-Sarf yang pada zaman dahulunya seumpama menukar emas dengan perak, atau menukar dinar dengan dirham. Syarak telah meletakkan syarat bahawa dalam jual beli al-Sarf hendaklah berlaku penyerahan dua item yang ditukar. Dalam konteks forex, mesti berlaku penyerahan antara dua matawang di dalam majlis akad, dengan mengambil kira bahawa penyerahan boleh berlaku secara hakiki (fizikal) dan juga hukmi (konstruktif). Contoh penyerahan fizikal ialah dengan menyerahkan matawang secara langsung kepada orang yang membelinya. Manakala contoh penyerahan hukmi ialah melalui pemindahan wang dari akaun ke akaun lain.
Berlakukah Qabd dalam Forex online?
Untuk menjawab persolaan ini kita perlu memahami bagaimana operasi forex dijalankan. Sesuatu perdagangan forex dijalankan dengan cara membuka posisi (open position) terhadap instrumen yang dipilih. Kemudian, diakhiri dengan menutup posisi (close position) terhadap instrumen tersebut. Sebagai contoh, anda mahu membuka posisi long terhadap instrumen EUR/USD, dengan maksud anda akan membeli matawang euro dengan membayar matawang dollar USD.
Di dalam Shariah, tuntutan qabd daripada transaksi ini ialah:
i) Anda hendaklah menyerahkan matawang USD kepada broker; dan
ii) Broker hendaklah menyerahkan matawang EUR kepada anda.
Dalam Forex online, berlakukah dua perkara tersebut? Jawapannya: Broker tidak akan mengkreditkan serta-merta matawang yang anda beli ke dalam akaun anda. Jadi, anda yang membuka posisi membeli instrumen EUR/USD tidak akan selama-lamanya dapat membuat qabd terhadap matawang EUR yang anda beli, kerana selagi posisi yang anda buka masih dalam status OPEN, anda tidak akan dapat menikmati segala keuntungan daripada kenaikan harga matawang yang anda beli dan tidak mungkin anda dapat membuat pengeluaran (withdrawal) wang tersebut, sehingga anda membuat CLOSE terhadap posisi tersebut, atau dengan kata lain anda menjual balik matawang yang anda beli tadi.
Sebagai contoh:
Anda membuka posisi long terhadap EUR/USD pada harga 1.4500 sebanyak 10,000 unit. Kemudian, anda menutup posisi tersebut pada harga 1.4550. Anda mendapat keuntungan sebanyak 50 pip.
Dalam contoh ini, apabila anda membuka posisi long, anda dikira membeli EUR10,000 dengan membayar USD14,500. Kemudian, anda menjual balik EUR10,000 dengan mendapat USD14,550. Anda untung USD50.
Maka di sini timbul isu ketiadaan qabd terhadap matawang yang dibeli oleh anda ketika membuka posisi long (membeli instrumen EUR/USD). Ini kerana selagi anda tidak menutup posisi pertama, anda tidak mungkin dapat menikmati apa-apa keuntungan sebenar daripada kenaikan harga EUR berbanding USD.
Jadi Qabd TIDAK BERLAKU kerana matawang yang dibeli ketika membuka posisi tidak akan dikreditkan ke dalam akaun pedagang, sehingga matawang tersebut dijual balik kepada broker ketika penutupan posisi.

3- ISU PENJUALAN MATAWANG YANG TIADA DALAM PEGANGAN


Sebagaimana disebutkan tadi, trading forex berlaku dengan ikatan antara dua transaksi iaitu open position dan close position terhadap instrumen yang dipilih. Jika ketika open position, trader membeli EUR dan menjual USD (Buy EUR/USD), maka ketika close position, dia akan menjual EUR dan membeli USD (sell EUR/USD).
Ketika close position, trader akan menjual balik EUR yang dibelinya. Di sinilah berlakunya isu Syariah. Kerana ketika trader membuat penutupan posisi (close position), dia akan menjual balik matawang yang dibelinya dari broker sedangkan dia belum lagi melakukan qabd terhadap matawang yang dibelinya.
Dalam satu hadis, Nabi S.A.W bersabda, “Tidak halal hutang dan jualbeli, (pengenaan) dua syarat dalam satu (transaksi) jualbeli, (mendapat) keuntungan (daripada) sesuatu yang tidak dijamin, dan jualbeli sesuatu yang engkau tidak miliki” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
Antara maksud ‘mengambil keuntungan daripada suatu yang tidak dijamin’ ialah mengambil keuntungan daripada jualan suatu yang tiada dalam pegangan.
Jadi, perdagangan forex secara online didapati tidak menepati tuntutan syarak kerana trader yang membuka sesuatu posisi akan menutupnya balik, atau dengan kata lain membeli sesuatu instrumen dan menjualnya balik sebelum berlakunya qabd terhadap matawang yang dibelinya. Ia termasuk dalam larangan hadis yang dikemukakan tadi.
ISU-ISU LAIN
Selain tiga isu di atas, terdapat beberapa lagi isu lain yang menjejaskan kesahihan transaksi Forex online. Antaranya kewujudan unsur rollover interest dalam sesetengan broker Forex, atau dikenali oleh trader-trader Forex sebagai swap. Iaitu apabila trader tidak menutup posisi melebihi 24 jam, sejumlah interest akan dikreditkan atau didebitkan ke akaun trader berdasarkan posisi yang dibuka, dan mengikut kadar faedah dua matawang yang terlibat dalam transaksi. Swap atau rollover interest yang dikenali dalam Bahasa Arab sebagai ‘Rusum al-Tabyit’ telah diputuskan oleh Majmak al-Fiqh al-Islami (Rabitah Alam Islami) sebagai riba yang nyata dan haram.
Begitu juga dengan isu spekulasi dalam Forex online, yang dilihat sebagai spekulasi yang melampau. Ya, ramai yang tidak bersetuju spekulasi dijadikan alasan haramnya Forex online. Kerana dalam mana-mana pelaburan pun, wujudnya unsur spekulasi. Yang dimaksudkan dengan spekulasi dalam konteks Forex online ialah spekulasi yang melampau dan menyamai perjudian. Kerana, dengan fungsi leverage, seseorang boleh hilang seluruh modalnya atau mendapat keuntungan berganda-ganda yang ada kalanya melebihi 100% dalam masa beberapa minit sahaja dengan pergerakan matawang yang kecil sahaja. Seolah-olah, trader mempertaruhkan depositnya, dan broker mempertaruhkan leverage yang diberikan kepada trader. Dalam posisi buy, jika pergerakan harga mengarah ke atas, maka trader akan untung berganda-ganda. Sebaliknya jika pergerakan harga menurun ke bawah, trader akan rugi dengan dahsyatnya yang boleh membawa kepada kerugian yang sepenuhnya.
Menurut Dominic Corelo, analisa empirikal menunjukkan bahawa 95 peratus individu yang berdagang spot forex mengalami kerugian yang total terhadap modal yang dilabur dalam beberapa bulan sahaja. (Dominic Corelo, “Successful Spot Forex Trading Requires Mentality of a Marathon Runner”, 26Februari 2011).
PENUTUP
Kepada trader-trader forex, operasi Forex online adalah satu bentuk perniagaan yang penuh dengan syubhah dan unsur yang meragukan. Resolusi dari Muzakarah JAKIM dan keputusan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya adalah satu tuah kepada kita kerana menyedarkan kita dari terus mengaut rezeki dari sumber yang tidak jelas.
Sekian
Abu Umair
25 Feb 2012


Monday, April 16, 2012

Pelaburan saham Virgin Gold Mining Corporation (VGMC) adalah SCAM?!

Salam,

Sudah lama tak mengepost, post-post sahaja terus tajuk ni.. Sori lah ye.. Hehe..

Bukannya apa, hari ni ada beberapa orang sahabat telah bertanyakan kepada hamba akan persoalan berkaitan perkara di atas.. Jadi adalah menjadi tanggungjawab hamba untuk menerangkan kepada semua sedikit sebanyak ilmu yang difahami berkaitan pelaburan dan kaitannya dengan perkara di atas.

VGMC Website
Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, pelaburan saham memang merupakan satu instrumen yang terbaik untuk kita beroleh pulangan yang lumayan. Ini kerana saham mampu memberikan kita pendapatan daripada 2 segi. Iaitu yang pertama dari segi Capital Gain ataupun pertambahan modal. Dan yang kedua dari segi pendapatan berkala melalui dividen.