Friday, March 23, 2007

MLM Haram??!!

Assalamualaikum wbt.

Mungkin ada yang pernah membaca artikel ini di mana-mana media massa atau di internet. Tetapi saya pastekan sekali lagi di sini sebab mesti ada yang tak baca lagi dan saya sendiri baru baca semalam. :)

Diharap anda membaca artikel ini sampai habis dan diharap dapat berlapang dada, kerana dengan dada yang lapang barulah ilmu itu boleh sampai ke dalam hati. Kalau anda sempitkan pemikiran dan telah siap sedia dengan hujah-hujah untuk menangkis segala kajian-kajian yang telah dibuat, maka anda tidak akan mendapat sedikitpun ilmu daripadanya. Dan perlu diketahui, tidak semua MLM tergolong dalam golongan yang haram.

(edited part)
Dan ini hanyalah sekadar pandangan awal dari ustaz Zaharudin. Sila baca sampai habis dan baca perenggan yang last sekali saya boldkan. Kerana ini hasil kajiannya. Jadi ia bukanlah muktamad dan kita perlu dengar juga pandangan daripada ulama-ulama yang lain.

So, lepas ini, kaji balik Syarikat mana yang anda telah join, dan sekiranya dah join maka cariklah jalan keluar sekiranya anda ragu-ragu. Kalau tak join lagi alhamdulillah, dan bolehlah carik syarikat-syarikat yang lulus dari segi point-point di bawah kerana menjauhi perkara yang syubhat itu adalah lebih baik.

Sekian sahaja. Wassalam.

Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing' atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.

Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Shariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses sistem ini.

Para ‘Ustaz' dan Multi Level Marketing

Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub' dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.

Tidak kurang juga terdapat para graduan Shariah atau pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz' dan Ustazah' yang juga kuat berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.

Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang ‘ustaz'. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka. Berkatalah Al-Laith bin Sa'ad : « Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:

لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين

Ertinya : "Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya" ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus' dalam industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Shariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang Islam dalam hal MLM ini.

Pengertian MLM

Secara umum ‘Multi Level Marketing' adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline' (tingkat atas) dan ‘Downline' (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline' jika mempunyai ‘Downline'. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal' atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan' ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)

Bentuk MLM yang Haram

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :

1) Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh' menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy' ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau "brokerage" (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas "brokerage" tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker' atau ‘agen' untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker' atau ‘agen' menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.

3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip "shafqatayn fi shafqah", atau bay'atayn fi bay'ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : "

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة

Ertinya : "Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad" ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay'atayn fi bay'ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat dipatuhi :-

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas. Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Shariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Shariah tentang MLM ini. Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.

Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)



27 comments:

  1. Anonymous3:42 PM

    "Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas"

    abu muadz, with due respect with the article, kita jangan cpt jadikan penulisan yang belum matang dan didebatkan secara ilmiah sebagai konklusi dalam isu MLM.

    ia masih satu perkara ijtihadiyy.

    saya agak risau melihat fenomena sebegini sebenarnya. apabila hukum diputuskan dan diqati'ekan dengan rujukan dengan hanya seorang yang menulis dan bercakap.

    sedangkan kajian yang matang perlukan perbahasan yang baik, dan sumber yang pelbagai.

    ReplyDelete
  2. betul tu pakdi.. saya pun tak perasan pasal perkara tersebut.. insyaAllah akan saya perbetulkan kembali..

    terima kasih kerana menegur.. :)

    ReplyDelete
  3. hehe inilah kita, yang sedapat mungkin mencari jalan agar sesuatu itu 'halal' bagi kita.

    kalau aku, aku hanya bergantung pada fakta atau cerita yang meyakinkan aku. fakta pertama yang aku jumpa adalah pilihan utama menentukan hukum untuk 'aku' sahaja, sebelum aku jumpa fakta/tulisan/bukti lain yang lebih meyakinkan.

    dalam hal ini, ternyata bagi aku MLM banyak yang subahat[accomplice? haha], sehinggalah konggor berjaya cari fakta lain :p

    ReplyDelete
  4. dulu, saya sendiri berpegang kuat kpd pendapat ASB haram. Tetapi setelah menemui fatwa SS Dato Harussani, maka pendapat itu saya kendurkan. Mesti ada sesuatu yang saya "tidak tahu" sehinggakan dalam hukum ASB ada 2 pendapat berbeza.

    Dan saya semakin memahami sebab musababnya (keharusan ASB) dan perkara-perkara lain dari masa ke masa setelah memerhatikan dan membaca isu-isu sekitar financial world.

    Dalam isu MLM begitu jugak. let the debate progress first. let the pro-cons being argued. let us make comparison between conventional, franchise & MLM. learn each strengths & weaknesses. what are shariah principles involved. etc.

    baru kita jump into conclusion with all those facts. bukan sekadar membaca 1 penulisan, 1 buku kita dah jump into it.

    baru betul kita tidak bertaklid :)

    ReplyDelete
  5. tiba2 sampai suatu hari didapati ada ulamak kata main WOW haram.. apakah yang perlu kita buat regor? :D

    seb baik aku dah berenti.. hehe.. tapi mana tahu suatu hari nak main lagi..

    ReplyDelete
  6. Anonymous8:29 PM

    wow? warcraft ke? hehe... dah lama tak main game daa...

    regor tu menda?

    ReplyDelete
  7. Anonymous9:01 PM

    salam ziarah dari bumi Ireland..

    ReplyDelete
  8. regor tu draygourn tu lah.. my big sempai.. :) dia pun bakal jadi CEO satu masa nanti.. hehe.. dialah yang memperkenalkan saya dengan Rich Dad Poor Dad.. Jugak rakan seperjuangan dalam WOW.. :D

    ReplyDelete
  9. salam jhaz.. :) selamat datang ke dunia bebas kewangan..

    ReplyDelete
  10. Betul saudara - saudara semua cakap. Biar kita discuss secara ilmiah tanpa melulu buat keputusan. Tetapi barangsiapa yang ingin menceburi MLM pun, jangan terlalu ghairah dalam menceburi bidang ini. Sehinggakan lari dari konteks sebenar berniaga. "Berniaga ke carik orang?". Itulah soalan yang paling sinonim dalam bidang MLM.

    Syaf The Geek

    ReplyDelete
  11. itulah yang akan berlaku kalau ramai perosak2 masuk MLM.. MLM yang tak bersalah akan orang pandang serong disebabkan ramainya mamat2 yang tak berguna yang hanya tahu carik downline kemudian tinggalkan mereka terkapai2..

    last2 nama MLM jugak busuk.. padahal yang bersalah ialah mamat2 yang hanya tahu nak cepat kaya sahaja..

    ReplyDelete
  12. macam mana kalau suatu hari ada ulamak cakap main bola haram?

    atau sekadar tengok bola, pun , haram? sebab rela tak semayang dsb.

    hari ni ramai org pandang rendah/hina orang main game, padahal bukannya ada beza sangat dengan orang main tenis atau layan drama tv atau sembang kedai kopi buat dosa kering kutuk org atau kerajaan. malah ntah2 lagi banyak buat dosa berkumpulan.

    aku hanya berpegang pada fakta yang aku ada, sehinggalah ada fakta baru yang lebih meyakinkan,

    MLM ni pulak, lantak dia la bukan aku nak masuk pun lagi. kalo rasa nak masuk nanti aku baca balik :p

    lagipun rich dad memang rekomen mlm. [siang pon takper,aku rasa]

    btw, kalau ada keraguan dalam hati, kita 'pause' dulu. nak tunggu sampai ada keputusan muktamad, memang payah. takkan lah kita terus nak ber... sampai ada org bagitau kita hitam putih. tapi semua ni bergantung pada ilmu masing-masing.

    aku memang takder ilmu dlm hal ni, tumpang ilmu org yang tahu...dan org yg rajin nak tahu cam konggor :]

    benda2 kankei nai aku malas nak ..

    benda2 ilmiah ni aku serah dekat korang nak discuss. nanti tumpang tanya keputusan dia eh?

    'too far gone to see the light,
    but I will never ever leave wow alive....'

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum, plz contact me at the given email asap; thebeesq@gmail.com. Wasallm.

    ReplyDelete
  14. ni yang lemah ni, aku baru nak berjinak-jinak dgn mlm, dah dapat sikit dah...memang susah, jual barang dan menambah pendapatan.

    ReplyDelete
  15. apa yang sy nampak...
    MLM ni lebih kepada cr org bukan pada produk..takde org yang join semata kerana produk..diaorg nak kaya dgn cara org.

    sy harap ada fatwa dr majlis ulama msia..mengenai MLM.

    ReplyDelete
  16. Anonymous1:25 AM

    salaam,
    ASB diharuskan sebab dah ramai sangat orang melayu yang melabur dalam ASB, di hukumkan harus, je bukan halal. please correct me, apakah hukum harus itu perkara yang Allah tak suka tapi tak masih tak berdosa? eh? im confused. benda harus nih lebih baik dilupakan je, tak kisah ah otai macam ustaz harun din yang bercakap/menghujahkannya.

    ReplyDelete
  17. Anonymous1:35 AM

    Hukum ASB is harus? bukankah benda2 harus nih suatu perkara yang Allah tak suka tapi tak berdosa (pls correct, me saya pun tak arif sangat). hukumnya harus, dan bukannya halal, masih nak teruskan juga? kenapa perlu kita menegakkan benang yang basah?

    soal mlm ni, saya nyaris terinvolved dgn biz nih. I thank HIM sbb terbaca article ustaz Zaharudin, tak perlu peningkan kepal ttg logik hukumnya. Islam menyuruh umatnya berusaha dgn titik peluhnya sendiri utk berjaya (berlandaskan syariatnya)> tapi mlm, seseorang tu ble berjaya hanya dengan merekrut seramai anggota yang boleh dan ketidakadilan berlaku apabila orang yang teratas mendapat point dari orang bawahannya yang keberapa dan siapa? orang teratas ni pula tak perlu berusaha sangat, janji orang bawahanny menepati syarat utk melayakkannya mendapat bonus. baca betul2 article ustaz Z. for you own good waaupun tak bercita2 sangat nak terjun bidang MLM. kita perlu menasihat sesama umat, yang terdaya.

    ReplyDelete
  18. Anonymous4:22 PM

    Kadang2 heran org Islam Malaysia ni nak kena tanya fatwa walaupun perkara-perkara yang jelas sudah ada... mcm fatwa golf tu la. Senang je MLM ni... kalau niat nak cari orang je, habis, tak boleh. Kalau kita bukan niat nak cari org, tak untungnya... sebab barang2nya selalu tak best pun kalau nak buka kedai jual. Lainlah mcm sesetengah MLM yg power produknya (mcm CNI, sampai org boleh buat jual je tak payah cari ahli pun untung).

    So, simple. Kalau tak cari ahli, boleh untung ke? Kalau boleh, pasang niat jadi ahli sebab nak beli barang dan jual la... ataupun jadi ahli dapat diskaun ke.

    Kalau nak kena cari orang dulu baru untung/dpt bonus, dah, habis dah terpesong niat.

    Masalahnya ni je la, kita niat betul nak menjual je... tapi ada kawan masuk jadi downline kita niat dia nak cari downline je. So, bila dia cari downline, kita gak dapat komisen, kan? Habis, komisen kita tu halal ka haram? Kalau dah haram cara yg dia buat? Ambil kias mudah je la, kalau kita tak jual arak, tapi pekerja kita jual arak (tanpa persetujuan kita), bolehka kita ambil untung jualan arak tu?

    ReplyDelete
  19. Anonymous10:26 AM

    Saya kurang gemar orang yang tayang-tayang duit dan kereta mewah hasil dari MLM dekat Facebook. Macam dah jadi taksub sangat dengan MLM ni. Nampak macam dah tak beretika.

    ReplyDelete
  20. Anonymous9:25 PM

    korang ni..makruh yang allah tak suka tp tak dapat dosa..bukannya harus...

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum...

    ReplyDelete
  22. Saya telah terlibat ngan MLM hingga ke puncak kenal "taukeh2" MLM...alhamdulillah saya dapat meninggalkan MLM nih. Saya kurang arif dalam hukum agama tapi kenyataannya dalam MLM ni ramai sangat yg sengsara dari yg berjaya. Kasinilah saudara2 dan rakan2 anda.

    ReplyDelete
  23. Anonymous9:50 PM

    saya sangat tertarik dengan hasil tulisan saudara

    ReplyDelete
  24. Anonymous1:28 AM

    Assalamualaikum Semua, Saya Bukan Ustaz Atau Apa2, Saya Cuma Pelajar Lepasan SPM 2010, Saya Memerhati Beberapa Perkara Dalam MLM Ini Dan Saya Membuat Kesimpula Berikut...


    Penjelasan Mengenai Sistem MLM
    1. Anda Melawati Sebuah Website MLM
    2. eg. Yuran Pendaftaran Ahli = RM 120
    3. Sebagai Ahli Anda Mendapat Produk X Dan Berhak Menaja Ajen Lain
    4. Anda Guna Produk X
    5. Anda Buat Website Sendiri Untuk Menaja Ajen Anda.
    6. Insan Y Mendaftar Dan Menjadi Ajen Anda Dengan Membayar RM 120
    7. Insan Y Dapat Produk X Dan Berhak Menaja Ajen Lain
    8. Anda Mendapat Komisen eg. RM 20 Daripada Bayaran RM 120 Insan Y Tadi
    Haram @ Tidak >> Ia Menimbulkan Tanda Tanya:-
    1. Mengapa Perlu Membayar Untuk Menjadi Ahli Dan Menaja Ajen Lain ?
    2. Mengapa Perlu Membeli Produk Untuk Menaja Ajen Lain ?
    Sedangkan Tanpa Modal Anda Boleh Menjual Produk Kerana Anda Diberi Komisen Daripada Hasil Jualan Anda Bukannya Anda Beli Dahulu Kemudian Menjualnya.
    Jadi Bagi Saya Jelas-Jelas Haram ( Bagi Saya ) >>> Tetapi Tidak Haram Jika Anda Membeli Produk Dalam Kuantiti Banyak Dan Anda Menjualnya Dengan Harga Lebih Tinggi = Bisnes
    Apa Yang Menyebabkannya Haram ?
    1. Untuk Menjadi Ahli Anda Perlu Membayar RM 120
    2. Anda Dapat Produk Dan
    1. Tersebut Hanya Berharga RM 100 Dan RM 20 Sebagai Bayaran Untuk Menaja Ajen Lain.
    3. Sebab = Anda Perlu Membayar Untuk Mendapatkan Produk Dan Mempunyai Lesen Untuk Menaja Ajen Lain. Lesen Untuk Menaja Ajen Lain
    ( Kenapa Anda Perlu Membeli Produk Untuk Menaja Ajen Lain ? Adakah Ajen Kereta Proton Perlu Membeli Kereta Untuk Memancing Orang Lain Membelinya ? )

    TIDAK BUKAN ???
    2. Dikhuatiri Produk
    Tak Pernah Pulak Saya Dengar Sales Yang Tercegat Kat Pasaraya Hulur Pamplet Kat Orang Awam ( Suruh Beli Produk Majikannya ) Kena Bayar Kalau Nak Jual Produk Tuu.

    Sepatutnya Sesiapa Sahaja Boleh Mendaftar Secara Percuma Untuk Menjual Produk X Tersebut Kerana Mendapat Komisen Daripada Hasil Jualannya @ Nama Ringkas = Affiliate

    Sebab Itulah Lahirnya AFFILIATE

    AFFILIATE Sama Sahaja Dengan MLM Cuma MLM Haram Kerana Perlu Melabur Untuk Menaja Ajen Lain Dan Mengambil Keuntungan Atas Angin

    Terlalu Jelas Haram Jika Berlaku Senario Berikut :-
    1. Anda Melawati Sebuah Website MLM
    2. eg. Yuran Pendaftaran Ahli = RM 120
    3. Sebagai Ahli Anda Boleh Menaja Ajen Lain.
    4. Insan Y Mendaftar Dan Menjadi Ajen Anda Dengan Membayar RM 120
    5. Anda Mendapat Komisen eg. RM 20 Daripada Bayaran Tersebut.

    HARAM!!! KENAPA?Sistem Piramid Ini Akan Menjelaskan Segalanya.



    1. Anda Mendapat Keuntungan Hanya Melaui Duit Pelaburan Ajen Anda.
    2. eg. Anda Mendapat 20% Dari Pendaftaran Ajen Anda
    3. Ajen Anda Mendapat 20% Dari Pendaftaran Ajennya Sendiri
    4. Jadi Sampai Bilakah Sistem Piramid Ini Akan Terhenti Kerana Manusia Dilahirkan Setiap Masa
    5. Hinggalah Ke Hari Akhirat.

    Tetapi Kalau Yang Ada Produk Tu Tetap Haram ( Bagi Saya ) Cuma Berselindung Disebalik Kebenaran

    Kesimpulannya … Joinlah Affiliate Bukannya MLM

    Blog Ini Merupakan Blog Pertama Saya Paparkan Kesimpulan Ini

    ReplyDelete
  25. Anonymous10:13 AM

    Salam.... Apa pendapat sahabat dgn program skor a..? Dr segi produknya mmg terbaik tp bila msuk bab MLM ni sy masih sangsi lagi..... Apa pendapat korang....?

    ReplyDelete
  26. Anonymous5:12 PM

    A jual kpd B...A untung...B plak jual pd C, B untung...
    Tp bila MLM, A masih dpt untung dari hasil jualan B...ini lah MLM...so A akan untung sampai bila2 selagi rantaian jualan berlaku atas barang yang sama... Tidak seperti rantaian perniagaan biasa..MLM nih bagi siapa yang tau costing sesuatu barang, pasti akan mengatakan MLM nih adalah perniagaan yang mengambil untung berlebihan. Tgk lah berapa ramai yg tersadai nak jual brg MLM terutama mereka yg berada dipasaran yg tepu...Kesian kan...Yg jd pioneer gak la yg sepanjang masa akan bahagia...Bila banyak modal, wujudkan MLM yg baru...Secara tak langsung, wujudlah kapitalis..Yang kaya semakin kaya, yang susah semakin susah..

    ReplyDelete
  27. Anonymous1:55 AM

    Hai semua,
    Saya akan memberitahu anda rahsia menjadi kaya dalam pelaburan bitcoin “orang yang bijak sepatutnya mempunyai wang di dalam kepala mereka, tetapi tidak di dalam hati.. Setiap hari adalah hari keputusan baru. Pilihan anda untuk menjadi kaya atau miskin & terus bergelut, mula membuat dana yang lebih besar dalam masa 72 jam dengan peniaga yang sah & pro seperti saya, Pelan pelaburan dibuka sekarang dengan pelaburan minimum $200 anda boleh memperoleh $2000 dalam 72 jam.

    Labur $200 mendapat $2,000
    Labur $500 mendapat $5,000
    Labur $700 mendapat $7,000
    Labur $1,000 mendapat $10,000
    Labur $2,000 mendapat $20,000
    Labur $5,000 mendapat $50,000
    Labur $7,000 mendapat $70,000

    Jangan lepaskan peluang yang jelas ini untuk mencapai kebebasan kewangan anda, mereka yang belum bersedia untuk melabur sekarang belum bersedia untuk bersara awal, jangan bergantung pada satu sumber pendapatan, biar kami berdagang untuk anda hari ini dan mula membuat keuntungan untuk anda. Sila hubungi kami Melalui WhatsApp: +1(252)285-2093 E-mel : andersoncarlassettrade@gmail.com

    ReplyDelete